Berita

Tebus baucar lebih awal

ORANG ramai menebus baucar pakaian sekolah di Taman Sri Rampai di
- Diterbit 12 Disember 2019 6:50 AM MYT

Kuala Lumpur – Tempoh 28 November lalu hingga 31 Januari 2020 agak panjang, namun ramai warga kota memilih untuk menebus baucar program Riang Ria Kembali Ke Sekolah lebih awal bagi mengelakkan kekalutan pada saat akhir.

Sebahagian daripada 6,000 penerima bantuan persekolahan tersebut memilih waktu hujung minggu untuk menebus baucar RM120 yang berupa tiga pasang pakaian, dua pa­sang stokin serta sehelai baju sukan berwarna putih, hasil sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama butik pakaian, Starvilion.

Tinjauan Wilayahku di salah sebuah pusat penebusan baucar iaitu di Bandar Sri Permaisuri di sini sepanjang hujung minggu lalu mendapati, terdapat peningkatan jumlah penerima bantuan berkenaan yang berkunjung ke situ.

Menurut penyelia pusat tersebut, Nurul Atika Basiran, purata kehadiran adalah antara 100 hingga 180 penerima pada setiap Sabtu dan Ahad dan jumlahnya lebih banyak daripada hari biasa disebabkan ramai yang bercuti.

SUASANA pada Program Penebusan baucer Riang Ria ke Sekolah anjuran YWP di Vista Wira Seksyen 2, Wangsa Maju.

Sementara itu, bapa kepada penerima, Salehudin Sajahan, 43, dari Jalan Klang Lama memberitahu, dia mahu mengelak persiapan pada saat akhir dan memilih untuk menebus bantuan tersebut lebih awal.

“Memang banyak lagi masa tetapi saya jangka akan berlaku kesesakan jika datang lewat terutama menjelang awal tahun depan,” tambahnya yang bekerja sebagai tukang masak.

Sementara itu, Norzuliana Nazari, 36 dari Cheras berkata, dia bimbang pakaian untuk anaknya tidak sesuai kerana kehabisan saiz jika datang lewat ke pusat tersebut.

Di Taman Sri Sentosa, beberapa penerima mengambil keputusan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan orang ramai yang hadir.

Pengurus Outlet Cawa­ngan Taman Sri Sentosa, Nurul Jannah Apandi, 29, berkata, me­reka yang datang pada hari minggu adalah dua kali ganda daripada hari biasa.

Di Sri Rampai, kehadiran orang ramai yang memenuhi premis tidak menghalang ibu bapa atau penjaga memilih pakaian untuk anak-anak me­reka, malah masing-masing sabar menunggu giliran.

Tinjauan mendapati, se­hingga pukul 1 tengahari Ahad lalu, lebih 50 ibu bapa hadir ke cawangan di sini bagi menebus baucar yang diberikan.
Di Wangsa Maju, kehadiran ibu bapa penerima dijangka lebih ramai seminggu sebelum sesi persekolahan bermula.

Pengurus pusat penebusan baucar cawangan Wangsa Maju, Yang Ashraf Yang Ghazali berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai ibu bapa yang akan membuat persiapan membeli kelengkapan per­sekolahan di saat akhir.

“Sejak dibuka pada 28 November lalu, kita lihat jumlah penerima yang menebus baucar berjumlah RM120 itu kurang menggalakkan. Selalu­nya, segala kelengkapan akan di buat di saat akhir,” katanya.

Di Putrajaya, ibu bapa dan penjaga yang menerima bantuan baucar program Riang Ria Kembali Ke Sekolah menzahirkan rasa syukur kerana dapat mengurangkan perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Seorang pekerja swasta, Abdul Shukor Mohd. Said, 46, berkata, penerimaan baucar yang bernilai RM120 itu membolehkan dirinya dan keluarga untuk fokus pada perbelanjaan lain.

“Kalau sebelum ini, saya terpaksa belanjakan wang simpanan yang ada dari sekitar RM500 sehingga RM600 setiap kali menjelang hujung tahun,” katanya.

Di Kepong, pemberian bantuan barangan persekolahan bernilai RM 120 bagai memberi nafas baharu kepada ibu bapa golongan berpen­dapatan rendah (B40) kerana dapat mengurangkan perbelanjaan mereka antara 30 ke 40 peratus khusus untuk barangan per­sekolahan setiap tahun.

Bagi Rohana Mustapa, 38, dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk lima orang anaknya yang masih bersekolah sebelum ini.

“Dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat, baucar ini banyak membantu walaupun ia bukan menyeluruh,” katanya.

Terdahulu, sebanyak lapan pusat penebusan baucar di­buka di seluruh Wilayah Persekutu­an yang berope­rasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam dan akan ditutup pada 31 Januari depan.

Sejak kaunter penebusan cawangan dibuka bermula 28 November lalu, lebih 1,000 penerima sudah mendapatkan kelengkapan persekolahan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas