Atlet Wilayah

Tashalina impi ke Olimpik

TASHALINA ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Singapura, 2019. TASHALINA ketika
- Diterbit 24 Oktober 2021 1:00 AM MYT

MEMASANG impian untuk beraksi di pentas Olimpik suatu hari nanti, gimnas muda, Nur Tashalina Nazrina Mohd Shahruddin, 16, menjadikan ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi sebagai idolanya.

Baginya, untuk sampai ke tahap itu, dia perlu bekerja keras selain memberi komitmen yang sangat tinggi sama seperti yang dilakukan idolanya itu.

“Biarpun Farah Ann tidak mara ke final tetapi penyertaan skuad gimnastik artistik negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 memberi inspirasi besar kepada gimnas muda untuk ke temasya sukan terbesar dunia itu.

“Mungkin saya akan mengambil masa bertahun-tahun berusaha untuk melayakkan diri ke Olimpik namun amat berbaloi memandangkan ini adalah jalan yang saya pilih dan banggakan,” ujar pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil ini.

Dia yang mula aktif dalam gimnastik sejak berumur tujuh tahun mengakui disiplin yang ketat perlu untuk memastikan dirinya berjaya.

“Sesi latihan adalah sebanyak enam hari seminggu. Tiada kompromi. Berlatih di gimnasium dan melakukan senaman fizikal adalah wajib dan saya tidak kisah berkorban masa dan tenaga ke arah itu.

“Selain itu, ketahanan mental juga memainkan peranan yang penting. Saya perlu bersedia memberi 100 peratus fokus sebelum beraksi untuk mengelakkan sebarang kecederaan,” ujar anak ketiga daripada empat orang adik-beradik ini.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun hadapan, pelajar jurusan Pendidikan Seni Visual ini pandai membahagikan masa di antara pelajaran dan sukan.

“Biasanya latihan akan bermula sebelah petang. Jadi, saya akan menggunakan  waktu di sebelah malam untuk mengulang kaji pelajaran dan mengikuti kelas tambahan dalam talian.

“Perlu pandai curi masa untuk belajar kerana saya ingin kedua-duanya berjalan seiringan. Kalau boleh, satu hari nanti saya mahu orang mengenali saya sebagai
atlet yang bijak,” ujarnya kepada Wilayahku-WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas