Berita

“Tanggungjawab saya lebih besar iaitu isteri”- Isa mahu jadi suami terbaik buat Risteena

Putrajaya
- Diterbit 12 Mac 2021 11:49 PM MYT

PELAKON Isa Khan berazam mahu menjadi suami terbaik kepada Risteena selepas mereka sah bergelar suami isteri semalam.

Jika sebelum ini, lebih banyak menghabiskan masa lepak atau bersama kawan-kawan, kini Isa mahu lebih menumpukan perhatian terhadap Isteri, keluarga dan bisnes.

“Saya percaya dalam hubungan, salah seorang kena dewasa. Sudah tentu lelaki.
“Mungkin dulu sebelum kahwin saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan, tapi sekarang saya ada tanggungjawab yang lebih besar iaitu Isteri.

“Jadi saya akan lebih banyakkan masa bersama Isteri dan keluarga. Mungkin sebelum ini saya lebih suka berkawan kerana itu adalah proses pembelajaran dalam kehidupan,” luah Isa.

ISA menghadiahkan lagu istimewa khas buat Risteena berjudul Karunia Terhebat.

Isa dan Risteena ditemui ketika majlis resepsi yang diadakan bersama rakan-rakan media dan keluarga terdekar di Ballroom, Quill City Mall, pada malam Jumaat.

Isa juga meluahkan rasa syukur apabila perkahwinan ini membuatkan hidupnya lebih bahagia.

“Selepas saya kenal dengan Risteena,banyak perubahan positif pada diri saya. Dia yang banyak buat saya berubah.

“Dia ubah cara saya berfikir, cara saya hadapi kehidupan dan sedarkan saya untuk menghargai orang-orang yang sayang saya. Kadang-kadang kita terlepas pandang.

“Jadi sekarang saya lebih fokus dengan tanggungjawab saya iaitu keluarga dan sudah tentu kerjaya dalam bisnes dan seni,” jelas Isa Khan yang mahu jadi suami terbaik untuk Risteena.

Manakala Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Minum Zainul Ilyas,32, pula mengaku dia perlu mengurangkan sikap suka merajuk selepas bergelar isteri.

“Sebelum kahwin, saya selalu nakkan perhatian, tapi selepas kahwin saya tak nak ubah, saya tetap nak perhatian,” katanya berseloroh.

Menurut Risteena, Isa seorang yang sangat tenang dan sentiasa mahukan yang terbaik buat dirinya.

“ Isa ni, susah nak cari gaduh dengan dia. Semuanya okay. Kadang-kadang, saya yang suka cari pasal sebab mahukan perhatian, mungkin itu yang kena saya kurangkan.

“Saya bersyukur dikurniakan suami yang sentiasa mahukan yang terbaik buat saya. Saya tak pernah bertemu dengan lelaki sebaik dia, Alhamdulillah,” luah Risteena lagi.

Pada majlis resepsi itu juga, Isa menyanyikan lagu khas yang dicipta buat isteri tercinta berjudul Karunia Terhebat.

PASANGAN selebriti Isa dan Risteena diijabkabulkan do Masjid Tunku Mizan, Putrajaya, semalam (12 Mac 2021)

Terdahulu Isa atau nama penuhnya Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan,28, dan Risteena dinikahkan oleh ayah pengantin perempuan, Zainol Ilyas di Masjid Tunku Sultan Maizan, sekitar pukul 10.30 pagi semalam.

Risteena menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 dan menyerah tujuh dulang hantaran berbalas lima.

Risteena yang juga kakak kepada pelakon Ruhainies menerima wang hantaran sebanyak RM 32,000 simbolik usianya tahun ini. – WILAYAHKU

Foto: Risteena & @project2pi

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas