Berita

Selepas Dr Xavier, ada lagi yang bakal menyusul – Annuar

MENTERI Wilayah Persekutuan, ketika melawat pitstop laluan basikat dan melawat sekitar laman Floria Putrajaya
- Diterbit 13 Mac 2021 6:05 AM MYT

SERAMAI tujuh hingga lapan orang ahli parlimen pembangkang lagi dijangka keluar parti dan mengistiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, tindakan tersebut diambil setelah mereka melihat dan memperakui usaha keras kerajaan PN yang diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam memerangi wabak pandemik COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Tugas kerajaan sekarang adalah terus fokus dengan melaksanakan tanggungjawab yang ada untuk menyelesaikan masalah COVID-19, pemulihan hubungan antara kaum dan kestabilan politik,

“Yang pentingnya kalau kerajaan ini berprestasi, maka akan ramai bersedia menyokong. Saya difahamkan banyak pihak termasuk beberapa ahli parlimen telah bersedia untuk beri sokongan kepada PN,” katanya kepada pemberita setelah Program Walkabout di Floria Putrajaya hari ini.

Annuar berkata demikian ketika mengulas tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar yang mengumumkan perletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan mengistiharkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta menyatakan sokongan kepada Kerajaan PN.

Sebelum ini, dua ahli parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) meninggalkan parti itu pada penghujung Februari lalu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan PN.

Annuar berkata, Kerajaan PN telah berjaya mengekalkan kestabilan dan mengawal COVID-19 dan program pemulihan ekonomi yang dilaksanajan sedang berjalan.

“Ia bermaksud ini merupakan kerajaan yang berjaya yang menggunakan model pemulihan yang berjaya.

“Kalau kawan-kawan memberi signal untuk menyokong PN disebabkan perkara tersebut, maka itu bukanlah satu perkara yang memeranjatkan,” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai ahli parlimen yang bakal meninggalkan parti masing-masing, Annuar menjawab tidak kira ia dari mana-mana parti sekalipun.

“Kalau saya sebut, nanti ada orang akan in denial, tapi realitinya begitulah.

“Politik ini bersifat dinamik, kalau ada orang cakap nak keluar,ada orang nak masuk.

“Ada dengar tak ada orang cakap nak keluar (PN) nak mufaraqah, kalau bila cakap nak keluar, dia dalam seperti dalam hukum Fizik juga, iaitu untuk setiap tindakan, akan ada reaksi yang sama dan berlawanan.

“Jadi, kita akan tengoklah dinamiknya, tetapi yang penting adalah apa yang baik bagi negara, pada saya inilah zaman untuk mengukuhkan penyatuan dan ini bukan zaman kita hendak menghancurkan keatabilan atau mengutamakan agenda peribadi dan membelakangkan agenda rakyat,” katanya.– AZLAN – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas