Berita

8,000 peserta serta kontinjen Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

STADIUM AXIATA
- Diterbit 7 November 2019 8:11 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

PUTRAJAYA – Seramai 8,000 peserta akan menyertai perarakan kontinjen Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pelbagai acara akan dilaksanakan untuk menghidupkan acara sambutan pada kali ini termasuk perarakan.

“Perarakan kontinjen melibatkan 100 pasukan dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Tetamu jemputan akan mula berkumpul pada pukul 7 pagi.

“Acara akan dimulakan dengan pelepasan perarakan kontinjen oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof. Di samping itu, acara perarakan turut melibatkan kontinjen golongan kenamaan (VIP) yang akan diketuai oleh Mujahid dan ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua pengarah jabatan, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan dan NGO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, setelah selesai perarakan, Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan akan dimulakan dengan sembah ucapan aluan Mujahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan.

Tambah beliau, kemuncak sambutan pada tahun ini adalah penyampaian anugerah kepada penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M yang mana penerima akan menerima wang tunai berjumlah RM 50,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

“Seramai empat orang penerima Anugerah Maulidur Rasul terpilih dan masing masing akan menerima RM 20,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan.

“Untuk makluman juga, orang ramai boleh menyaksikan siaran secara langsung majlis berkenaan menerusi RTM1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta radio-radio di bawah seliaan RTM dan radio IKIM.FM. Malah majlis ini juga boleh ditonton di web TV JAKIM dengan melayari laman sesawang www.tvjakim.my.,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas