Berita

Taman Tasik Titiwangsa lebih cantik

ANTARA lokasi cantik yang berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
- Diterbit 7 November 2019 8:04 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Taman Tasik Titiwangsa yang ditutup sejak September tahun lalu akan mula dibuka semula kepada pengunjung pada akhir Januari tahun depan.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi Facebook rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 3 November lalu.

Dalam kenyataan tersebut, DBKL menyatakan, taman rekreasi itu masih belum dibuka kepada orang ramai berikutan kontraktor masih menjalankan kerja-kerja menaik taraf.

“Pihak projek dan klien sedang dalam proses memobilisasi pasukan sekuriti, pembersihan dan lain-lain staf.

“Tanpa pasukan sekuriti atau kontraktor, sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini kepada pengunjung, dikhuatiri tiada perlindungan yang dapat membantu,” katanya.

Taman Tasik Titiwangsa ditutup kepada orang ramai pada 1 September 2018 bagi memberi laluan kerja-kerja pengindahan dan penambahbaikan.

Dalam satu notis sebelum ini, DBKL memaklumkan sebarang aktiviti riadah tidak dibenarkan dilaksanakan di kawasan tersebut.

DBKL juga tidak bertanggungjawab atas sebarang kemalangan dan kecederaan yang terjadi kepada mana-mana individu yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran sepanjang tempoh penutupan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas