Berita

Taman Rimba Alam lokasi menarik buat pencinta alam

PENUNGGANG basikal berpeluang menyelusuri suasana hutan hujan tropika di Taman Rimba Alam.
- Diterbit 26 Mei 2023 2:29 AM MYT

PUTRAJAYA yang dibangunkan dengan berkonsepkan bandar dalam taman tidak terkecuali dalam mempunyai sebuah hutan tropika tersendiri.

Taman Rimba Alam dengan jolokan ‘Khazanah Alam Putrajaya’ merupakan sebuah taman yang menghimpunkan pelbagai spesies pokok hutan di Malaysia.

Menurut Naib Presiden Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya (PPj), LAr. Abd Aziz Buang, pengunjung yang berkunjung ke Taman Rimba Alam dijanjikan dengan pengalaman berada di hutan hujan tropika atau lebih dikenali sebagai pokok hutan tanah pamah atau dipterokap.

“Para pengunjung berpeluang mengenali lebih 400 spesies pokok hutan dengan jumlah pokok yang telah ditanam melebihi 95,000 batang pokok.

“Taman Rimba Alam berkonsepkan perhutanan bandar berperanan sebagai salah satu taman yang membantu Putrajaya dalam mengekalkan ekosistem dan biodiversiti dari segi flora dan faunanya seperti burung, mamalia dan reptilia,” ujarnya kepada Wilayahku.

Abd Aziz memberitahu taman tersebut mempunyai keluasan sebanyak 165 hektar serta terletak bersempadan dengan Taman Diplomatik dan pembangunan kediaman Presint 14 dan 15.

“Terdapat pelbagai pokok berkualiti tinggi atau spesies pokok-pokok hutan yang hampir pupus dipulihara di Taman Rimba Alam untuk pengunjung melihat dengan lebih dekat lagi antaranya cengal, kempas, meranti merah, keruing, meranti tembaga dan meranti rambai daun.

“Dalam pada itu, pelbagai aktiviti luar pendidikan botanikal dan rekreasi disediakan kepada pengunjung,” tambah beliau.

Selain itu, beliau memaklumkan Taman Rimba Alam turut menampilkan salah satu ekosistem alam semula jadi yang paling kompleks dan pelbagai.

“Ia sekali gus memberikan peluang yang tidak berkesudahan kepada peminat alam semula jadi untuk mendekatinya sambil menikmati keindahan hutan yang terletak di tengah-tengah bandar Putrajaya dan juga dirancang sebagai sebuah taman rekreasi metropolitan untuk bandar ini,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas