Berita

Tak salah tidak pakai topeng muka

- Diterbit 17 April 2020 8:58 AM MYT

 

PUTRAJAYA – Orang ramai tidak perlu bimbang kerana tidak menjadi kesalahan bagi mereka sekiranya tidak memakai topeng muka dalam urusan harian.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaliknya berkata, pemakaian topeng muka hanya perlu bagi mereka yang mempunyai gejala Covid-19.

“Ketua Pengarah Kesihatan hampir setiap masa dalam sidang akhbarnya menyatakan yang bergejala sahaja perlu memakai topeng muka.

“Bagi yang tidak bergejala adalah pilihan masing-masing. Jadi, tidak boleh kita menguatkuasakan sesiapa tidak memakai topeng ditahan dan ditangkap,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas satu laporan polis yang tular mendakwa terdapat individu ditahan kerana tidak memakai topeng muka.

Justeru, Ismail Sabri menegaskan sesuatu perkara itu tidak seharusnya melebihi peraturan atau akta yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Dulu pada satu ketika, pengawal keselamatan pasar raya menahan individu sebab tidak pakai topeng, jadi tidak boleh beli produk makanan dan sebagainya.

“Jadi, tidak menjadi kesalahan sekiranya tidak memakai topeng tersebut,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas