Berita

Zoo Negara habitat 4,000 haiwan

KANAK-KANAK berpeluang memberi makan kepada haiwan. -NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 4 Oktober 2019 9:49 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI

TANPA mengira usia, Zoo Negara menjadi lokasi pilihan warga kota yang ingin menghilangkan tekanan sambil beriadah dan menghirup udara segar.

Semestinya, flora dan fauna adalah terapi semulajadi yang membantu mengurangkan tekanan selain bersenam.

Tambahan pula, pihak pengurusan zoo telah menukar konsepnya kepada zoo terbuka yang membolehkan haiwan dilihat secara terus menerusi ruang pameran berkaca.

Terletak di Hulu Kelang, Zoo Negara merupakan satu-satunya taman haiwan yang berada di tengah bandar.

Meskipun semakin dihimpit pembangunan di sekelilingnya, zoo tersebut masih terus menjadi habitat ribuan haiwan di negara ini. Malah, reka bentuk zoo tersebut mengekalkan ciri-ciri habitat haiwan yang dijaga sekali gus membolehkan pengunjung menikmati pameran ‘kehidupan semulajadi’ setiap binatang yang ada.

Lihat sahaja memerang yang dipamerkan, walaupun berada dalam balang kaca, haiwan berkenaan leka ‘bermain’ dan menjalani kehidupan seolah-olah tiada gangguan.

Menempatkan lebih 4,000 ekor haiwan daripada 200 spesies, taman tersebut juga menjadi ‘penyelamat’ sekiranya ibu bapa tidak berkesempatan membawa anak-anak bercuti semasa musim cuti sekolah tiba.

Rasa gembira pasti menyelubungi kanak-kanak yang teruja melihat haiwan secara dekat khususnya Si Belang.

Bagi menarik perhatian pengunjung, tanah seluas 110 ekar itu juga mempamerkan beratus spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan.

Kepelbagaian itu menjadikan Zoo Negara sebagai salah satu lokasi untuk menambah pengetahuan serta menjadi pusat pendidikan kanak-kanak.

TELATAH Panda menarik perhatian pengunjung.

Selain itu, pengurusan taman haiwan berkenaan mengadakan aktiviti yang membolehkan pengunjung memberi makan kepada haiwan seperti rusa, kuda mini dan arnab.

Lebih menarik, pengunjung dapat melihat haiwan yang berusia lebih 80 tahun dan merupakan yang tertua di Zoo Negara iaitu kura-kura spesies Aldabra dari Kepulauan Seychelles.

Kura-kura gergasi berkenaan dibawa masuk ke Zoo Negara lebih 40 tahun lalu dan tidak dibiakkan.

Selain itu, kewujudan tiga ekor anak Harimau Malaya yang dinamakan Melur, Hebat dan Wira sejak empat bulan lalu turut menarik perhatian pengunjung serta pelancong luar negara. Keletah anak-anak si belang itu semestinya mencuit hati.

Terdapat lebih daripada 15 kawasan pameran haiwan untuk dilawati iaitu
dari spesies orang utan di dunia monyet, ikan tropika di taman ekologi
air tawar pertama negara hinggalah kepada kodok di dunia amfibia.

Pengunjung juga boleh melihat secara dekat burung kakak tua di kawasan perlindungan burung dan mengambil gambar dengan ular dan kuda kecil berhampiran pintu masuk utama zoo.

Kehadiran panda gergasi yang diberikan kerajaan China pada 2014 menjadikan Zoo Negara lebih ceria, malah pengunjung terutamanya kanak-kanak sangat teruja ketika melihat keletah haiwan comel itu dari dekat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas