Berita

Suasana damai di Hutan Cafe

HUTAN Cafe yang terletak di Taman Tasik Cyberjaya.
- Diterbit 4 Oktober 2019 10:04 AM MYT

MELANGKAH masuk ke dalam Hutan Cafe yang terletak di Taman Tasik Cyberjaya, jiwa terasa tenang dan damai dengan rimbunan pohon-pohon hijau yang diletakkan di segenap ruangan kafe tersebut.

Berkonsepkan ‘Gormet Bistro Food’, kafe yang diusahakan Muhammad Muallif Shahrel, 35, ini merupakan lokasi yang tepat bagi penggemar makanan bistro seperti pasta, creamy buttermilk chicken, sandwich dan sebagainya.

CREAMY Buttermilk Chicken yang menyelerakan.

Berbeza dengan kafe lain, Hutan Cafe menghasilkan sendiri pasta serta roti untuk dihidangkan kepada para pelanggan mereka bagi memastikan makanan yang disajikan adalah sihat.

“Kami juga membuat sos sendiri yang pastinya bebas daripada perasa tiruan. Sejujurnya saya sendiri tidak menggemari makanan segera yang ada di luar sana kerana ia tidak elok untuk tubuh badan,” ujarnya kepada
Wilayahku baru-baru ini.

Katanya lagi, dia sebolehnya mahu para pelanggan merasai keenakan makanan secara semula jadi seperti di rumah. Ini kerana pada masa kini agak sukar mendapatkan makanan yang bebas daripada perasa tiruan.

SHAK Shuka merupakan antara hidangan istimewa di Hutan Cafe.

Berbicara lanjut tentang hidangan istimewa yang ada di kafe miliknya itu, menurut Muallif baru-baru ini, mereka memperkenalkan hidangan Shakshuka yang mirip kepada makanan popular, kacang pool.

“Berbeza dengan hidangan kacang pool yang mengunakan kacang hijau, Shakshuka pula dibuat dengan kacang kuda selain dibanjiri dengan sos tomato yang dihasilkan sendiri di samping rempah ratus seperti jintan,” ujarnya.

Hutan Cafe turut mengetengahkan makanan seperti nasi goreng serta mee goreng mamak yang dimasak dengan penuh teliti agar rasa bawang serta kandungan lain bertaut antara satu sama lain.

Selain itu, pelbagai aneka makanan lain turut terdapat di sini antaranya
sup cendawan, crepe pocket, spicy prawn pasta, pad kra pao, hidangan kopi istimewa dan sebagainya dengan harga serendah RM7 hingga RM35.

Kafe dalam taman

Bercerita lanjut tentang Hutan Cafe, menurut Muallif, kafe yang beroperasi
hampir dua tahun itu jauh dari kesibukan kota. Sesuai dengan lokasinya
yang berada di dalam Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya yang tenang,
ia turut menjadi tumpuan pelanggan dari Putrajaya.

“Rata-rata pelanggan kami juga merupakan pengunjung yang hadir untuk
menggunakan kemudahan yang ada di dalam kelab ini seperti kolam
renang, futsal, menunggang kuda, paint ball dan sebagainya.

“Lokasi kafe ini juga menjadi tumpuan pelajar dan pekerja sektor swasta dan kerajaan yang ingin berbincang dalam suasana yang tenang. Ternyata persekitaran santai merupakan kelebihan buat kami di sini,” ujarnya.

Berbicara tentang perancangan kafenya, Muallif berkata, selain dalam proses untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, sempena tahun 2020, dia berhasrat untuk membuka lebih banyak
lagi cawangan Hutan Cafe.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas