Berita

Ziarah kasih SHWP 2020 santuni warga emas

- Diterbit 14 Februari 2020 5:01 AM MYT

LABUAN – Menyantuni golongan warga emas menjadi antara pengisian Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di sini apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad turun padang ke kawasan kampung-kampung dalam program Ziarah Kasih di sini baru-baru ini.

Pada kesempatan itu, beliau meninjau hasil sumbangan yang diberikan Perbadanan Labuan (PL) kepada golongan warga emas yang uzur seperti katil hospital dan kerusi roda.

Salah seorang warga emas yang menjadi pilihan kali ini ialah Madin Unos, 87, yang uzur akibat strok sejak berbelas tahun lalu di Kampung Durian Tunjong.

Anak sulung Madin, Nayan berkata, sudah berbelas tahun, dia bersama lima adik beradiknya bergilir-gilir ‘mengasuh’ bapa mereka itu.

Hari itu kata, Nayan merupakan saat yang begitu menggembirakan mereka apabila menerima tetamu istimewa iaitu Menteri Wilayah Persekutuan.

Dalam program Ziarah Kasih itu, Khalid menyampaikan sumbangan wang, hamper dan barangan keperluan kepada warga emas tersebut.

Sementara itu, beliau turut mengunjungi warga emas yang uzur akibat strok di Kampung Tanjung Aru, Kunal Taha, 87.

Bekas tukang kebun sekolah itu turut menerima bantuan katil hospital daripada PL. Menantunya, Ismail Sanif, 50, berkata, memandangkan isterinya, Aini Kunal, 55, merupakan anak tunggal, jadi dia sekeluarga mengambil tanggungjawab menjaga bapa mereka.

“Syukur, keadaan bapa semakin baik, sekarang sudah boleh bertutur dengan elok berbanding dahulu selepas diserang strok,” katanya yang bekerja sendiri.

Terdahulu rombongan Khalid menziarahi seorang lagi warga emas di Kampung Layang-Layangan, Awang Damit Hassan,73, yang turut menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dan Pengerusi PL, Datuk Seri Amir Hussein.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas