Berita

27 kampung ganding bahu jayakan kenduri Rakyat

ORANG ramai menjamu selera pada program kenduri Rakyat di pekarangan Arena Boling Padang Antarabangsa Labuan.
- Diterbit 14 Februari 2020 5:27 AM MYT

LABUAN – Penduduk sebanyak 27 kampung di sini berganding bahu bagi menjayakan gotong royong memasak juadah bagi program Kenduri Rakyat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) baru-baru ini.

Program itu juga memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan khususnya komuniti Labuan merasai kemeriahan suasana kenduri yang begitu meriah satu ketika dahulu.

Ini apabila seawal pukul 3 pagi lagi, warga Labuan melibatkan wakil-wakil komuniti menyingsing lengan, bersama-sama menjalankan kerja-kerja memasak untuk menyiapkan juadah Kenduri Rakyat.

Lebih unik lagi, juadah yang disediakan 10 kumpulan memasak itu melibatkan menu pelbagai kaum sekali gus menampilkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, program Kenduri
Rakyat merupakan ‘signature’ program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang dinanti-nantikan oleh warga Labuan setiap tahun.

“Kenduri Rakyat merupakan program yang dinanti-nantikan saban tahun, baik di Labuan, mahupun di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Penganjuran program ini yang membawa komuniti setempat bersama-sama berkumpul menunjukkan impak positif penyatuan dan keharmonian hubungan sesama warga,” katanya ketika berucap merasmikan Kenduri Rakyat Wilayah Persekutuan Labuan di sini.

Hadir sama isteri Khalid, Dr. Zaitun Abu Bakar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar dan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussien.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr. Fary Akmal Osman; Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Rokiah Sulaiman serta ketua-ketua agensi.

Turut terlibat dalam acara kenduri itu ialah Dewan Perniagaan India, Dewan Perniagaan Tiong Hua, Hotel Lazenda Labuan dan Hotel Grand Dorsett Labuan. Petronas Chemicals Methanol Sdn. Bhd. pula memberikan sumbangan beras, tong gas, baju-T dan apron.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas