LABUAN – Yuwang Group menyumbang 2,550 topeng muka secara percuma kepada petugas barisan hadapan yang bertugas dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di sini.
Yuwang Group juga mendermakan topeng muka untuk kegunaan para petugas media ketika bertugas.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sumbangan itu akan diberikan kepada 800 petugas barisan hadapan di wilayah ini.
“Saya mewakili Pengerusi Jawatankuasa Bencana mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap petugas barisan hadapan,” katanya ketika ditemui di Wisma Perbadanan Labuan di sini.
Terdahulu beliau menerima sumbangan topeng muka daripada Pengurus Yuwang Group, Alex Lee Hyen Yan.
Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan diminta berhubung dengan pihak Jawatankuasa Bencana untuk langkah seterusnya.
“Jawatankuasa Bencana akan melaksanakan beberapa prosedur yang ketat agar tiada berlakunya rantaian penularan Covid-19 ketika memberikan sumbangan.
“Bagi NGO yang ingin turun ke padang untuk memberikan sumbangan, pihak kami tidak membenarkan aktiviti tersebut dijalankan,” katanya. – WILAYAHKU