Berita

Pematuhan PKP di Labuan meningkat ke 97 peratus

MUHAMAD FARID
- Diterbit 2 April 2020 3:03 PM MYT

LABUAN – Kadar pematuhan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh orang ramai di wilayah ini meningkat kepada 97 peratus.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad, PKP fasa kedua pada hari ini mendapati aliran trafik sesak di antara tiga sekatan jalan raya menuju ke bandar.

“Pagi ini, terdapat banyak kenderaan menuju ke bandar dan mereka (pemandu) mendapat pengecualian ‘essential services’.

“Kebanyakan penduduk wilayah ini merupakan pekerja dalam sektor minyak dan gas. Justeru banyak kenderaan yang pergi ke arah bandar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Muhamad Farid, kadar pematuhan selepas bekerja mencatatkan peratusan sebanyak 97 peratus selama dua hari PKP fasa kedua dilaksanakan selain kira-kira 300 orang diarahkan patah balik berikutan tidak mempunyai alasan kukuh.

“Bagi kes kecemasaan seperti ibu mengandung dan tidak boleh memandu, kita akan berikan pengecualian sekatan jalan raya selain meneliti pekerjaan individu tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihak polis berharap orang ramai lebih mematuhi PKP fasa kedua bagi membantu mengekang penularan wabak Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas