Berita

Tenaga boleh diperbaharui: Prospek positif jana ekonomi negara

TEKNOLOGI turbin angin yang sedang berkembang menjadi prospek ekonomi positif untuk masa depan negara.
- Diterbit 8 Disember 2023 12:10 AM MYT

Oleh Azlan Zambry & Syed Hazique

SEKTOR tenaga boleh baharu merupakan prospek ekonomi yang dijangka boleh berkembang untuk tahun 2024 sekali gus mengukuhkan lagi pertumbuhan negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaya (UM), Dr Mohd Zaidi Md Zabri berkata sektor berkenaan berupaya mengukuhkan momentum pertumbuhan ekonomi memandangkan negara kini menitik beratkan pembangunan teknologi hijau.

“Tenaga boleh baharu adalah komoditi yang boleh diibaratkan sebagai kekayaan baharu dan menjadi pemangkin kepada memomentum pertumbuhan dan ia adalah jalan kehadapan yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

MOHD ZAIDI

“Pertumbuhan ini juga merupakan komitmen kerajaan dalam mengurangkan penggunaan tenaga fosil sekali gus memberikan lebih banyak peluang untuk sektor berkenaan terus berkembang dan seterusnya menyumbang semula kepada negara,” katanya kepada Wilayahku pada Rabu.

Mohd Zaidi berkata peningkatan skala besar terhadap sektor berkenaan didorong dengan perubahan iklim dan kerajaan mengambil langkah bijak dalam memperbanyak sumber ekonomi negara.

“Malaysia mempunyai banyak sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh dibangunkan seperti solar, angin, biojisim, hidro, geoterma dan gelombang pasang surut. Tenaga suria telah menjadi salah satu teknologi yang semakin meningkat dalam industri tenaga boleh diperbaharui untuk Malaysia,” katanya sambil menambah industri pembangunan bateri, solar dan bateri lithium mempunyai prospek tinggi dalam negara.

Menurut Mohd Zaidi, meskipun berhadapan dengan perubahan iklim yang ketara dan berisiko terhadap sektor berkaitan pertanian dan perladangan, pihaknya menjangkakan kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dijangka akan melaksanakan penjajaran semula terutama melibatkan kaedah-kaedah pertanian moden.

“Untuk organisasi yang besar ini seperti Sime Darby Plantation, ia tidak merisaukan kerana mereka telahpun ada standard dari Malaysia Palm Oil Board (MPOB) yang bertindak mengawal selia dan ia selari dengan kaedah pertanian dan perladangan lestari.

“Cuma yang merisaukan adalah petani dan peladang kecil dan di sini yang pasti terjejas. Di sini bantuan kerajaan amat diperlukan bagi memperdaya mereka untuk meningkatkan ketahanan untuk berhadapan dengan perubahan iklim dan ia termasuklah dengan petani sayur-sayuran di Cameron Highlands dan peladang nenas di Johor yang berkait rapat dengan perkara tersebut,” katanya.

Ujar Mohd Zaidi, sektor perikanan turut terkesan dengan masalah yang sama seperti kedatangan musim monsun yang turut berkait rapat dengan masalah perubahan iklim dan KPKM perlu ada pelan jangka masa panjang untuk memacu sektor berkenaan.

Menurut Mohd Zaidi, kementerian penting seperti KPKM perlu mencontohi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang memperkenalkan pelan National Energy Transition Roadmap (NETR).

“Untuk industri perladangan, pertanian dan keterjaminan makanan, setakat ini belum ada sebarang pelan jangka panjang yang boleh menjadi panduan.

“Kita tidak boleh leka dan saya rasa kita masih perlukan untuk jamin makanan sepetrti telur, ayam daging, beras dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Menurut Mohd Zaidi, untuk mengatasi masalah berkenaan, semua pihak melihat kepada penjajaran semula bajet dan tidak boleh hanya bergantung kepada rancangan jangka panjang serta mengharapkan cara pertanian konvensional.

“Petani negara ini perlu keluar dari kebiasaan dan termasuk meneroka kaedah pertanian baharu seperti pertanian pintar (smart farming), pertanian menegak (­vertical farming) dan kementerian berkaitan perlu mempunyai inisiatif baharu yang diperhebatkan,” katanya.

Menurut Mohd Zaidi, unjuran ekonomi Malaysia yang diramalkan oleh banyak pihak sebelum ini realistik berikutan kerana ia melibatkan suntikan dana yang lebih dari kerajaan dan ketika ini kewangan defisit yang bermakna kita berbelanja melebihi pendapatan, jadi untuk naikkan lagi KDNK, kita perlukan suntikan fiskal yang bermakna kita perlu berhutang lagi.

Jadi saya menjangkakan perkara itu tidak akan dilakukan melainkan pertumbuhan ini berlaku secara organik atau memang ada permintaan daripada pelanggan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas