Berita

Sumareh, Afiq Fazail sertai kem latihan Harimau Malaya hadapi Kyrgyzstan, Taiwan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 6 November 2023 4:10 AM MYT

KETUA Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon terus bereksperimen apabila membuat kelainan dalam pasukannya, menjelang saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan ini.

Berdasarkan senarai 25 pemain ke kem latihan pusat bermula Jumaat ini, pengendali dari Korea Selatan itu melakukan kejutan apabila kembali memanggil pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh, yang kali terakhir menyarung jersi Malaysia pada kejohanan Piala Raja Thailand, September tahun lepas.

Pan Gon juga akhirnya ‘tunduk’ kepada desakan peminat dan beberapa pemerhati bola sepak tempatan, apabila turut menyenaraikan tonggak jentera tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Afiq Fazail.

Sumareh dan Mohd Afiq yang merupakan rakan sepasukan di JDT merupakan antara lima pemain yang kembali tersenarai dalam skuad kebangsaan, selain penjaga gol Negeri Sembilan FC Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dan dua pemain pertahanan JDT Shahrul Saad dan Muhammad Syahmi Safari.

Dalam pada itu, Pan Gon dilihat mahu meneruskan pendekatan taktikalnya apabila mengekalkan 20 pemain yang dipanggil pada kem latihan pusat bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka 2023 bulan lepas, yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan, di sini.

Antara muka yang dikekalkan adalah ketua pasukan Dion Cools, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Safawi Rasid, Mohamad Faisal Abdul Halim, Brendan Gan, Dominic Tan, Darren Lok, Paulo Josue dan Junior Eldstal.

“Sementara 26 pemain diletakkan dalam senarai bersedia, jika terdapat perubahan dalam senarai 25 pemain. Dua pemain, Syamer Kutty Abba dan Nor Azam Abdul Azih masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan,” menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Malaysia akan beraksi menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 November ini, sebelum bertandang ke Taipei untuk aksi kedua bertemu Taiwan pada 21 November, dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut, selain mara lebih jauh dalam memburu slot ke Piala Dunia.

Menyertai Malaysia, Kyrgyzstan dan Taiwan dalam saingan Kumpulan D adalah Oman. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas