Berita

Suami isteri cetuskan kluster di Tawau, disahkan negatif sebelum rentas negeri

RITHUAN Mohd Ismail berkata pasangan tersebut telah menjalani ujian antigen rapid (RTK Ag) di Labuan terlebih dahulu dan ujian tersebut didapati adalah negatif.
- Diterbit 19 Mei 2021 11:21 AM MYT

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan menegaskan bahawa pasangan suami isteri yang pulang ke Sabah dari Labuan yang telah mencetuskan penularan COVID-19 di negeri tersebut telah disahkan negatif sebelum merentas negeri.

Pengerusi JPBD Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata pasangan tersebut telah menjalani ujian antigen rapid (RTK Ag) di Labuan terlebih dahulu sebagai syarat kemasukan ke Sabah dan ujian tersebut didapati adalah negatif.

Katanya, sehubungan itu Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (JKNWPL) telah mengambil tindakan serta merta dan mengenalpasti kesemua kontak rapat pasangan itu di Labuan dan didapati kesemuanya negatif.

“Berdasarkan hasil dapatan diperolehi, mendapati bahawa pasangan tersebut telah berada di Sabah iaitu di daerah Tawau telah melebihi seminggu,” katanya semasa sidang media secara virtual, hari ini.

Rithuan berkata berkemungkinan jangkitan tersebut lebih menjurus kepada jangkitan tempatan dikawasan daerah itu.

Jelasnya, hal ini kerana sejarah pergerakan pasangan tersebut yang aktif semasa persiapan dan sambutan raya di Tawau dan status daerah Tawau adalah Zon Merah.

Dalam perkembangan lain, Rithuan berkata sehingga kini sebanyak 677 kompaun yang membabitkan sejumlah RM 963,500.00 telah dikeluarkan oleh pihak penguatkuasa keatas individu dan premis yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kesemua kompaun itu dicatatkan bagi sepanjang tahun 2020 hingga hari ini,” jelasnya. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas