Berita

Raihan warnai Karnival MAIWP malam ini

- Diterbit 18 Februari 2024 5:30 PM MYT

KARNIVAL MAIWP 2024 yang diadakan di Taman Tasik Titiwangsa hari ini membuka peluang kepada masyarakat khususnya di Kuala Lumpur untuk mengenali lebih dekat perkhidmatan yang disediakan agensi tersebut.

Ia juga merupakan sebahagian usaha MAIWP dalam menyebarluaskan peranan dan perkhidmatannya kepada masyarakat dalam aspek pendidikan, keusahawanan, kesihatan dan kebajikan selain memperkasa nilai kebersamaan MAIWP dengan agensi-agensi terlibat.

Salah seorang pengunjung, Muhammad Faiz Al-Muddin berkata melalui karnival ini, dia dapat mengumpul pelbagai maklumat berhubung inisiatif yang disediakan MAIWP termasuk agensi-agensi lain.

“Apabila ada program sebegini banyak info baharu yang kita dapat ketahui lebih lanjut, senang lah selepas ini untuk membuat urusan.

“Secara peribadi, saya mengetahui MAIWP tentang urusan zakat dan kebajikan, tapi Alhamdulillah hari ini saya dapat peroleh banyak maklumat tambahan,” katanya.

Sementara itu, peserta acara Fun Run Karnival MAIWP 2024, Pavitra Ramasamy teruja menyertai acara larian bersama suaminya meskipun berlainan agama dan bangsa.

“Saya berbesar hati kerana acara ini tidak terhad kepada sesiapa untuk menyertainya malah mereka sangat mengalu-alukan penyertaan kami,” ujarnya.

Terdahulu, Karnival MAIWP 2024 berlangsung selama satu hari bermula pukul 6.30 pagi tadi sehingga 11 malam ini dengan tema 50 tahun Memacu Kegemilangan seiring tujuam utamanya bersempena Sambutan Jubli Emas Penubuhan MAIWP.

Sebanyak 100 buah reruai disediakan dengan menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf MAIWP, perkhidmatan dan institusi pendidikan serta kesihatan di bawah MAIWP.

Turut berlangsung malam ini adalah Malam Kesenian Islam yang menampilkan persembahan selebriti jemputan iaitu Kumpulan Raihan, INTEAM, Ezad Lazim dan diikuti dengan Selawat Nuril Mubim sebagai penutup karnival. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas