Berita

Maklumat gangguan liputan perkhidmatan akan segera diserah kepada CelcomDigi

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 24 Januari 2024 8:25 PM MYT

MENTERI Komunikasi Fahmi Fadzil akan menyerahkan maklumat mengenai gangguan liputan perkhidmatan dialami pengguna yang melanggan perkhidmatan dengan syarikat telekomunikasi CelcomDigi Bhd.

“Insya-Allah, saya akan segera menghantar maklumat kepada pihak CelcomDigi untuk mereka selesaikan… saya akan berhubung untuk minta mereka pastikan masalah seumpama ini diselesaikan,” kata jurucakap Kerajaan Perpaduan itu pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap rungutan pengguna CelcomDigi mengenai masalah itu di media sosial.

Fahmi berkata sejak CelcomDigi digabung secara rasmi pada akhir 2022, syarikat telekomunikasi itu telah selesai menjalankan 30 peratus proses integrasi tahun lepas manakala 40 peratus pada tahun ini dan baki 30 peratus menjelang 2025.

“Kita sedia maklum setelah MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) umumkan penggabungan kedua-dua entiti ini, mereka dijangka ambil masa antara 18 dan 24 bulan (untuk pastikan rangkaian perkhidmatan stabil),” katanya.

Mengenai dakwaan penjawat awam diwajibkan mendaftar dengan portal Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), Fahmi berkata isu itu tidak timbul kerana mereka digalakkan untuk berbuat demikian.

Beliau berkata setakat ini, sejumlah 30.1 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dalam sistem itu dan semua maklumat dijamin selamat.

Isnin lepas, Jabatan Perkhidmatan Awam meminta semua warga kementerian dan agensi kerajaan untuk melakukan pendaftaran serta pengemaskinian maklumat melalui portal PADU selewat-lewatnya 15 Februari ini bagi memastikan mereka yang layak mendapat manfaat, tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas