Berita

MAH KL sumbang barang kebersihan ke pusat kuarantin dan rawatan MAEPS

- Diterbit 23 Disember 2020 2:03 AM MYT

PUSAT kuarantin dan rawatan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) memerlukan lebih banyak sumbangan barangan kebersihan ekoran permintaan penggunaan yang sangat tinggi oleh pesakit dan staf perubatan di sana.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kuala Lumpur telah menyerahkan sumbangan sebanyak 20,000 barangan kebersihan kepada Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di The Gardens Hotel, Kuala Lumpur.

Sumbangan ini merupakan hasil kolaborasi antara MAH Kuala Lumpur dan IMARET untuk disumbangkan kepada pusat kuarantin dan rawatan MAEPS yang akan menempatkan pesakit warga asing yang berisiko rendah.

“Saya terharu kerana walaupun dalam kesusahan ekonomi terutamanya dari industri perhotelan, saya berharap ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai industri untuk membantu menyelesaikan masalah COVID-19 ini.

“Kita akan lakukan ini bersama-sama, ini bukan sahaja tentang pendekatan kerajaan dan agensi tetapi juga pendekatan semua masyarakat,” kata Ketua Koordinator IMARET Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim kepada WilayahKu hari ini.

Ahmad Munawwar berkata MAEPS yang dahulunya cuma menampung 600 pesakit kini telah menerima seramai 13,000 pesakit yang memerlukan barangan kebersihan akibat kenaikan kes COVID-19 di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sementara itu, Pengerusi MAH Kuala Lumpur, B.E. Lim berkata sumbangan ini merupakan hasil kutipan daripada 17 hotel di Kuala Lumpur yang membantu menyumbangkan produk kebersihan ini.

“Dalam masa 24 ke 48 jam, kami sudah menerima hampir 3,000 barangan dan dalam masa lima hari jumlah kutipan telah mencecah lebih 20,000 barangan.

“Sumbangan ini bukan sahaja dari hotel tetapi juga dari syarikat yang membekalkan peralatan mandian dan kebersihan kepada hotel di Kuala Lumpur,” kata B.E. Lim pada majlis penyerahan sumbangan.

Antara barangan yang disumbangkan adalah sabun hotel, gel mandi, syampu dan topi mandi kepada IMARET. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas