Berita

Laluan khas atlet Wilayah ke universiti

HASNUL (kiri) dalam sesi pertukaran dokumen bersama Pengarah Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Abdul Halim Mokhtar.
- Diterbit 18 Jun 2020 4:18 AM MYT

ASPEK pembangunan sukan merupakan elemen penting dalam pembentukan sosial kepada ge­nerasi muda dan belia ­ketika ini.

Justeru, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menjalinkan kerjasama antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaya (UM).

Kerjasama yang dijalinkan dalam satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kedua-dua universiti tersebut memberi peluang kepada atlet-atlet MSWP untuk melanjutkan pengajian melalui laluan khas sebagai atlet.

Menurut Pengarah MSWP, Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri, perkara tersebut adalah suatu yang baik di mana atlet yang berkelayakan dapat menyambung pengajian di Institut Pengajian Awam (IPTA).

“Selain daripada kekal cemerlang dalam sukan yang diceburi, atlet-atlet yang telah tamat pengajian di peringkat sekolah dapat menyertai program-program yang bersesuaian dengan kelulusan mereka,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, selain daripada pengajian, kerjasama lebih utuh yang terjalin pada masa hadapan bersama UiTM dan UM tersebut turut melibatkan bidang penyelidikan berkaitan sukan.

“Diharap dengan adanya kerjasama ini maka atlet-atlet Wilayah Persekutuan akan menyambut baik peluang keemasan yang jarang diperoleh sekali gus bertekad menjadi ahli sukan yang kaya dengan ilmu pengetahuan,” ujar Hasnul.

Terdahulu, MSWP menandatangani MoU antara Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM serta Pusat Sukan dan Sains Eksesais Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas