Berita

Insentif Sukan SEA, terima kasih KWP – Dhabitah

DHABITAH mahu cipta kejayaan lebih besar di masa hadapan.
- Diterbit 18 Jun 2020 4:35 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) meraikan kejayaan atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya menyumbang pingat di temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina tahun lalu dengan pemberian insentif sebanyak RM93,700.

Ternyata insentif tersebut yang bertujuan meningkat, menggalak serta memberi motivasi kepada atlet-atlet Wilayah Persekutuan yang mewakili negara ke peringkat antarabangsa diterima baik atlet atlet Wilayah Nur Dhabitah Sabri, 21.

Menurut penerjun remaja negara itu, biarpun tidak dapat turut serta dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut kerana berada di Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo (RTT) di Kompleks Sukan Bukit Jalil namun dia bersyukur atas penghargaan yang diterima.

“Sejujurnya saya cukup berterima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang sangat menghargai jasa dan pengorbanan para atlet yang berjaya. Saya berharap agar ia dapat menyemarakkan semangat kami semua,” ujarnya.

Menyentuh tentang perkembangan terbaharunya, Dhabitah turut teruja ­berada di RTT dan giat menjalani latihan daripada jurulatih berpengalaman di kem tersebut bermula 1 Jun lalu dan akan tamat pada 30 Jun ini.

“Saya rasa cukup gembira kerana akhirnya dapat berlatih setelah hampir tiga bulan menjalani latihan di rumah menggunakan tilam yang dipinjamkan oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sungguhpun prosedur operasi standard (SOP) yang dikenakan agak ketat dengan pendekatan kuarantin yang digunakan namun itu bukanlah menjadi hal yang rumit asalkan dapat kembali ke kolam,” ujarnya yang memperoleh satu emas dan satu perak pada temasya tahun lalu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas