Berita

Hadi Fayyadh dipinjamkan ke kelab Jepun Azul Claro Numazu

- Diterbit 29 Disember 2020 8:01 AM MYT

PENYERANG Bawah-23 tahun negara Hadi Fayyadh Abdul Razak, dipinjamkan ke kelab Jepun Azul Claro Numazu yang beraksi di Divisyen 3, Liga Profesional Jepun (J.League) bermula awal Januari hingga 31 Dis tahun depan.

Pemain berusia 20 tahun itu, dipinjamkan daripada kelab Divisyen 2, Fagiano Okayama, di mana beliau menempah nama sebagai pemain Malaysia pertama yang bermain di J.League, pada Okt 2018.

Pengarah Urusan Yakult Malaysia Hiroshi Hamada berkata keputusan itu dibuat, selepas perbincangan pihaknya bersama dengan Fagiano Okayama dan Hadi Fayyadh, supaya pemain muda itu boleh mendapat minit perlawanan, peluang beraksi yang lebih dalam saingan liga dan pengalaman yang berharga.

“Keputusan ini dibuat selepas beberapa siri perbincangan diadakan bersama. Ini penting untuk membantu Hadi mendapatkan minit bermain, di samping memberi pendedahan kepada Hadi dengan pengalaman beraksi di Divisyen 3 J.League,” katanya menerusi kenyataan.

“Saya yakin dan percaya Hadi akan dapat menyesuaikan diri serta memberikan aksi yang terbaik bersama kelab ini, serta mendapat pengalaman baru di sana,” katanya selaku individu yang membantu karier Hadi di negara itu.

Sementara itu, Hadi Fayadh nyata gembira dan tidak sabar untuk membuktikan dirinya bersama pasukan baharunya, yang berpangkalan di Numazu, Shizuoka.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab Fagiano Okayama, terutamanya kepada semua jurulatih dan pemain-pemain. Selama dua tahun bersama kelab ini, saya telah banyak belajar dan memperbaiki diri saya sebagai pemain bola dan saya berasa amat gembira.

“Saya anggap perpisahan ini hanyalah sementara dan yang pasti saya akan kembali bersama Fagiano Okayama nanti. Insyaallah saya akan lakukan yang terbaik bersama Azul Claro Numazu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas