Berita

Dipelawa sertai Gegar Vaganza, “tak naklah, saya dah tua” – Rohana Jalil

- Diterbit 29 Disember 2020 11:20 PM MYT

PENYANYI Rohana Jalil, 65, mengaku pernah dipelawa untuk menyertai program hiburan popular Gegar Vaganza (GV), namun menolaknya.

Biarpun masih bertenaga untuk menyanyi secara live, Rohana yang popular dengan lagu Rayuanku tekad untuk tidak menyerah GV atas faktor usia.

“Memang ada jemputan untuk terlibat dalam GV tapi saya tak akan masuk. Saya sudah 65, tahun depan 66 tahun. Setakat menyanyi atas pentas membuat persembahan itu tiada masalah, tetapi bukan untuk bertanding. 

“Rakan artis lain yang sebelum ini pun ada yang masuk dan secara langsung kita sudah tahu macam mana perjalanan dan komitmen yang diperlukan. Saya bimbang kalau tidak boleh nak ikut,” katanya kepada Wilayahku.

Rohana ada menerima pelawaan untuk terlibat dalam GV8, tetapi memilih untuk tidak menyertainya. 

“Mereka ada juga panggil untuk tahun depan, tetapi saya pilih untuk tidak ambil. Tak naklah, dah tua. Saya suka berikan sokongan pada artis bertanding. 

“Kadang-kadang sampai segan juga sebab asyik hadir menonton. Bagaimanapun saya hormati mereka yang berada di pentas GV. Mereka berani sahut cabaran. 

“Komen netizen pun macam-macam. Saya bukan tidak boleh terima kritikan, tetapi mungkin sebab saya sudah berusia. Kilafairy dan anak-anak lain pun memang tidak setuju kalau saya masuk. 

“Kalaulah ketika itu umur saya 50 tahun, mungkin saya boleh pertimbangkan tawaran tersebut,” ujarnya yang tidak mahu diganggu dengan kritikan warganet dalam usia sekarang.

Dalam perkembangan lain, Rohana kini terlibat dalam perniagaan import dan eksport daging frozen dan mentah, Rohana Jalil Resources Sdn Bhd dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. 

Bisnes yang baru sahaja diusahakannya itu turut mendapat sokongan suami serta ahli keluarganya lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas