Berita

‘Geng Apoi’ aktif samun golongan wanita di Kulim tumpas

- Diterbit 10 Februari 2021 6:45 AM MYT

‘GENG Apoi’ yang disyaki aktif melakukan kegiatan samun dengan menyasarkan golongan wanita di sekitar daerah Kulim sejak akhir tahun lepas, tumpas susulan penahanan dua lelaki dalam dua tangkapan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata dua suspek yang berumur 28 dan 30 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kes samun sebuah rumah flat di Taman Jati, Kulim pada Isnin lepas.

“Dalam kejadian pukul 3.40 petang itu, dua individu yang tidak dikenali telah memasuki rumah yang dihuni seorang suri rumah berumur 33 tahun. Kedua-dua suspek yang memakai topeng muka dan bersenjatakan parang telah menyamun mangsa.

“Bertindak daripada laporan yang diterima, anggota dari cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim telah mengenal pasti kereta jenis Proton Waja yang digunakan suspek semasa melakukan samun itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhar berkata polis yang menjalankan rondaan pada pukul 1.30 pagi tadi telah terserempak dengan kereta berkenaan yang dinaiki tiga lelaki di Keladi, Kulim.

“Dua suspek sempat melarikan diri manakala seorang lagi yang merupakan ketua kumpulan berumur 28 tahun berjaya ditahan. Hasil siasatan, seorang lagi suspek yang berumur 30 tahun kemudian berjaya ditahan pada hari sama di sebuah rumah di kawasan itu.

“Kita berjaya menyelesaikan lebih 10 kes samun dengan penahanan kedua-dua suspek ini. Kedua-duanya direman hingga 15 Feb dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut memberitahu bahawa pihaknya sedang mengesan seorang lagi suspek kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, Azhar berkata pihaknya menahan seorang lelaki berumur 24 tahun susulan penemuan 400 karton rokok seludup di dalam kereta jenis Perodua Alza yang dipandunya, di kawasan kebun kelapa sawit di Junjong, Kulim, 6 Feb lepas.

“Hasil soal siasat, rokok tersebut dibawa dari selatan tanah air untuk tujuan dijual di sekitar kawasan utara. Suspek yang tidak arif laluan jalan di kawasan Kulim mengaku menggunakan laluan hutan bagi mengelakkan kenderaannya ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan rokok berkenaan berjumlah RM28,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas