Berita

Zakat Kedah perkenal skim bantu asnaf bergaji miliki rumah sendiri

- Diterbit 10 Februari 2021 6:41 AM MYT

LEMBAGA Zakat Negeri Kedah (LZNK) memperkenalkan Skim Pembiayaan Rumah Asnaf Bergaji bagi membantu golongan berkenaan memiliki kediaman sendiri, walaupun mereka berpendapatan rendah dan tidak layak mendapat pinjaman bank.

Pegawai Eksekutif LZNK Zakaria Othman berkata menerusi skim dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Bhd itu, LZNK akan menanggung sebanyak 50 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan rumah (nilai maksimum RM45,000), manakala 50 peratus lagi dibiayai melalui pinjaman bank.

“Golongan asnaf bergaji yang berpendapatan di bawah RM1,200 tidak layak mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah, namun melalui skim ini mereka hanya perlu bayar kira-kira RM260 sebulan kepada pihak bank bagi tempoh 10 tahun,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya meluluskan dua permohonan dengan kedua-dua kediaman siap dibina dan kunci telah diserahkan kepada pemiliknya, baru-baru ini.

“Kami difahamkan program seumpama ini adalah yang pertama di negara ini dan kita nak lihat sejauh mana ia berjaya dan LZNK menyasarkan seramai 20 lagi asnaf bergaji akan mendapat manfaat daripada skim ini sepanjang tahun ini,” katanya.

Zakaria berkata, untuk menyertai skim berkenaan, pemohon perlu melepasi siasatan LZNK dan tidak disenarai hitam, bagi membolehkan pihak bank meluluskan permohonan pinjaman peribadi mereka.

“Mereka juga tidak semestinya mempunyai tanah bergeran di atas nama sendiri kerana mereka boleh mendapatkan kebenaran bertulis daripada mana-mana pihak untuk membina rumah di atas tapak bersesuaian,” katanya.

Untuk perancangan masa depan, Zakaria berkata pihaknya bercadang memperluaskan tawaran kepada sama ada korporat atau individu bagi sama-sama menyumbang untuk menjayakan skim berkenaan.

“Mana-mana pihak yang berhasrat nak sumbangkan sebanyak RM22,500 (separuh kos keseluruhan pembinaan rumah) itu, sangatlah kita alu-alukan kerana kadang-kadang kemampuan kewangan kita terhad dan jika ada pihak tampil membantu, lebih ramai asnaf bergaji akan dapat manfaat ini,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas