Berita

Ganti rugi lewat serah rumah dikira dari tarikh fi tempahan – Mahkamah Persekutuan

- Diterbit 19 Januari 2021 10:23 AM MYT

MAHKAMAH Persekutuan di sini hari ini membuat keputusan memihak kepada pembeli rumah berhubung Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) yang perlu dibayar pemaju perumahan apabila berlaku penyerahan lewat milikan kosong.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan sebulat suara, menetapkan jumlah LAD yang perlu dibayar oleh pemaju perumahan kepada pembeli dikira bermula dari tarikh pembayaran tempahan dan bukan dari tarikh perjanjian jual beli.

Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun berkata mahkamah tidak akan bersetuju dengan tindakan yang melangkaui perlindungan statutori yang bertujuan melindungi pembeli.

“Apabila pemaju perumahan bertindak menyalahi undang-undang, mereka perlu menerima akibatnya.

“Walaupun pemaju mungkin berpendapat menerima fi tempahan adalah amalan komersial biasa, perkembangan undang-undang jelas menunjukkan sebaliknya,” katanya, sambil menambah bahawa mahkamah tidak akan membenarkan amalan tersebut melainkan undang-undang mengatakan sebaliknya.

Tengku Maimun bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan  Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Keputusan dalam tujuh rayuan melibatkan tiga pemaju iaitu PJD Regency Sdn Bhd, GJH Avenue Sdn Bhd dan Sri Damansara Sdn Bhd itu disampaikan melalui sidang video melalui aplikasi Zoom hari ini. Rayuan berkenaan didengar bersama pada November tahun lepas.

Dalam keputusan itu, mahkamah menolak rayuan dalam kes melibatkan PJD Regency dan Sri Damansara namun membenarkan rayuan oleh tiga pembeli rumah terhadap GJH Avenue.

Dalam kes PJD Regency, pemaju projek “You Vista” di Cheras itu memfailkan dua rayuan terhadap Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan dua pembeli, Ng Chee Kuan dan Wong Kien Choon.

Tiga lagi rayuan difailkan tiga pembeli  unit projek “Taman Paya Rumput Perdana Fasa 2” iaitu Ong See Chen, Ong See Siew dan Ong See Ping. Responden adalah pemaju projek GJH Avenue.

Dua rayuan lain difailkan oleh Sri Damansara bagi “Foresta Damansara”. Responden adalah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah dan tiga pembeli iaitu Thong Chee Wei, Teoh Sheh Wee dan Voon Kuan Chien.

Pembeli membawa kes itu kepada Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah mengenai pembayaran LAD dalam isu serahan lewat milikan kosong hartanah.

Tengku Maimun berkata dalam mentafsirkan undang-undang sosial, mahkamah perlu melaksanakan hasrat Parlimen dan bukan niat pihak lain.

“Jika tidak, usaha badan perundangan untuk menyamaratakan peluang dengan mengurangkan ketidaksetaraan pihak terlibat dalam rundingan akan menjadi tidak berguna,” katanya.

Pemaju berhujah bahawa kontrak perlu dibaca secara harfiah dan seiring dengan hasrat pihak yang merupakan ciri prinsip penafsiran kontrak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas