Utama

Sidang khas Parlimen: Azalina tidak setuju

KUALA LUMPUR 13 JULAI 2020. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika sidang media selepas persidangan Dewan Rakyat yang bermula hari ini di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
- Diterbit 19 Januari 2021 10:30 AM MYT

AHLI Parlimen Pangerang Datuk Seri Azalina Othman Said menolak cadangan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan supaya satu sidang khas Parlimen diadakan berhubung proklamasi darurat.

Dalam surat yang dikeluarkan semalam, Ahmad memohon semua Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional untuk mengemukakan persetujuan bagi pelaksanaan Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan satu sidang parlimen segera berhubung proklamasi darurat dan meminta jawapan mereka sebelum 12.30 tengah hari, hari ini.

Azalina dalam surat jawapan balasnya hari ini berkata sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, beliau adalah antara individu yang paling mengutamakan dan berpegang teguh kepada prinsip demokrasi berparlimen, namun ada isu-isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan lebih mendalam, sebelum beliau dapat memberikan persetujuannya.

“Lebih-lebih lagi kerana isu itu menyentuh tentang kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata pertama sekali beliau mengambil maklum bahawa kes-kes mahkamah yang dilaporkan sebelum ini telah memutuskan bahawa perisytiharan proklamasi darurat dan/atau pemasyhuran Ordinan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar sama sekali kerana ia diperuntukkan di bawah Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

Azalina berkata walaupun proklamasi itu tidak boleh dicabar, beliau percaya ada cadangan dan syor-syor alternatif yang boleh diketengahkan kepada Seri Paduka Baginda, seperti mencadangkan supaya satu Majlis Khas Parlimen (bipartisan) bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan isu berkaitan hak asasi dan kebebasan rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan ditubuhkan.

Selain itu katanya persetujuan penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional sekitar tahun lepas boleh terus digunapakai UMNO untuk menyalurkan apa-apa input termasuk bagi menimbulkan apa-apa bantahan berhubung dasar kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan darurat.

“Semua ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada UMNO yang merupakan ahli Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) dan juga jawatankuasa Pilihan Khas masih boleh memainkan peranan yang aktif supaya aktiviti-aktiviti KRPPM dan JPK masih terus giat dijalankan dan diteruskan.

“Ini memandangkan pada 12 Jan lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat telah mengumumkan bahawa semua aktiviti kaukus, KRRPM atau JPK yang telah ditubuhkan masih boleh diteruskan.

“Apa-apa kegusaran dan rintihan rakyat di kawasan Parlimen masing-masing juga boleh dibawa ke perhatian menteri UMNO secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet. Ini memandangkan Ahli-ahli Parlimen UMNO masih lagi mendapat peruntukan dari kerajaan dan mempunyai kebebasan untuk merentas negeri bagi melawat kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau turut memohon wakil UMNO dapat dilantik secepat mungkin ke dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang bakal ditubuhkan nanti sepertimana dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Azalina berkata bagi negara-negara lain yang telah mengisytiharkan darurat untuk mengekang penularan COVID-19, mereka telah terlebih dahulu membuat persiapan, antaranya dengan meminda peraturan mesyuarat supaya persidangan Parlimen boleh dilakukan secara atas talian.

“Hakikatnya, perkara ini tidak dilakukan negara kita dalam persidangan lepas,” katanya.

Beliau berkata wajar ditekankan bahawa fasal 14(1) ordinan yang baharu dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memperuntukkan bahawa Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda.

“Pada hemat saya kebarangkalian YDPA memanggil suatu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini, ataupun membatalkan proklamasi dan Ordinan itu sama sekali amatlah tipis,” katanya.

“Oleh sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka saya dengan hormatnya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu itu sepertimana yang diminta Yang Berhormat Pontian,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas