Selebriti

Eva menang kategori thriller di Festival Filem Cannes

|KEMENANGAN ini menjadikan Suhaiza terus bersemangat untuk menghasilkan karya terbaik.||
- Diterbit 26 Ogos 2022 8:35 AM MYT

FILEM sulung arahan Suhaiza Aziz berjudul Eva terpilih sebagai pemenang anugerah bulanan (Julai 2022) bagi kategori thriller dan suspen di Festival Filem Cannes baru-baru ini.

Dalam pencalonan awal, Suhaiza berkata, filem Eva bersaing dengan dua buah naskhah lain iaitu Deadline dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ivy dari Jerman.

“Saya tidak menyangka sama sekali filem Eva akan menang kerana mendapat saingan yang bukan calang-calang daripada filem terbitan Emiriah Arab Bersatu dan Jerman.

“Apabila tiba-tiba produser, Diyana Ismail, tunjuk poster yang Eva tercalon, kami semua terkejut.

“Tak sangka kami boleh ‘terbang’ sejauh ini. Tambahan lagi, ini adalah karya pertama saya sebagai pengarah.

“Walaupun baru tercalon, apabila kami nampak nama Malaysia, bangga rasanya,” kata Suhaiza.

KEMENANGAN ini menjadikan Suhaiza terus bersemangat untuk menghasilkan karya terbaik.

Tambah Suhaiza, kemenangan itu bukan sahaja menjadi pemangkin untuknya menghasilkan karya terbaik, malah menjadi satu titik permulaan kepadanya untuk mendalami lagi ilmu pengarahan.

Justeru, Suhaiza berharap agar filemnya itu turut cemerlang di penganjuran Festival Filem Cannes 2023 yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun hadapan.

 

Sinopsis Filem Eva

Filem ini mengisahkan Eva, Amy dan Mike adalah orang yang sama tetapi terperangkap dalam satu tubuh.

Eva, sebagai pemilik tubuh terpaksa berhadapan dengan perubahan yang berbeza-beza akibat daripada trauma yang dialami sejak dia masih kanak-kanak.

Eva mempunyai seorang anak lelaki yang cuba memahami keadaannya dan kakaknya, Elly, sentiasa berada di sisinya.

Dalam kekeliruan dirinya itu, Eva berjaya menjadi seorang peguam. Namun itu tidak merubah dirinya menjadi manusia normal.

Keadaan dirinya terus bertukar-tukar menjadi Amy, seorang pakar forensik dan Mike pula pembunuh. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas