Berita

Eksport halal cecah lebih RM44 bilion

- Diterbit 11 Disember 2023 1:34 PM MYT

NILAI eksport bagi industri halal negara sehingga Oktober ini bernilai RM44.17 bilion, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Liew Chin Tong.

Beliau berkata pada tahun lepas, nilai eksport sektor halal Malaysia yang meliputi produk barangan makanan dan minum, bahan ramuan dan produk kosmetik melonjak 64 peratus kepada RM59.46 bilion berbanding pada 2021.

“MITI menerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sentiasa mempromosikan produk tempatan ke luar negara termasuk produk halal dari masa ke semasa menerusi penyediaan platform dan kempen perniagaan melalui acara utama seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli mengenai usaha kerajaan untuk menaikkan nilai eksport industi halal negara yang berjumlah RM59.46 bilion pada 2022 berbanding peringkat global sekitar RM13.86 trilion.

Liew berkata MIHAS edisi ke-19 merekodkan jualan produk halal mencecah RM3 bilion iaitu 24 peratus lebih tinggi berbanding sasaran selain berjaya memadankan 469 syarikat tempatan dengan 231 pembeli antarabangsa dari 44 negara.

Menurut Liew, Majlis Pembangunan Industri Halal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah berlangsung dua kali pada tahun ini menyasarkan pengurangan birokrasi terhadap proses mendapatkan pensijilan halal Malaysia.

Selain itu, langkah sinergi turut dimulakan dengan penglibatan daripada agensi utama MITI, HDC, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, MATRADE, SIRIM, Jabatan Standards Malaysia dan kerajaan tempatan, katanya.

“Ini juga bertujuan untuk memacu usaha pembangunan industri halal melalui Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 mengambil kira penyertaan aktif Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana termasuk bumiputera serta mempergiat pengkomersialan produk penyelidikan dan pembangunan serta inovasi halal,” kata Liew.

Beliau berkata teras strategik kedua HIMP yang membuka peluang pasaran baharu untuk produk halal di peringkat antarabangsa menggariskan tiga inisiatif yang mampu membantu meningkatkan pasaran global iaitu, mempertingkat kerjasama eksport dengan negara sasaran, mempromosi jenama halal Malaysia dan memperkukuh kerjasama strategik dengan syarikat multinasional. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas