Berita

Denda RM2.2 juta dikenakan kepada Deloitte PLT oleh SC adalah sesuai, kata Hakim

- Diterbit 24 Disember 2020 6:20 AM MYT

KEPUTUSAN Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mendenda Deloitte PLT (Deloitte) RM2.2 juta adalah bersesuaian dan mengikut kadar graviti dan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh firma audit itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas menolak permohonan semakan kehakiman difailkan Deloitte, bagi mencabar keputusan SC yang membatalkan permohonannya untuk mengkaji semula denda RM2.2 juta, yang dikenakan terhadap firma itu.

Beliau berkata mahkamah pada pandangannya, SC telah tidak tersalah arah dirinya dalam undang-undang atau gagal mengambil kira pertimbangan berkaitan dalam membuat keputusannya terhadap pemohon (Deloitte).

“Pihak responden (SC) telah melaksanakan tindakan sewajarnya dan pentafsiran yang betul mengenai peruntukan undang-undang yang berkaitan, dalam tugas dan tanggungjawab responden sebagai pengawal selia pasaran modal.

“Pemohon gagal dalam mana-mana bahagian untuk menunjukkan yang keputusan responden atau mana-mana bahagian jumlah itu, kepada satu keputusan yang tidak munasabah yang dilakukan pihak berkuasa tersebut.

“Keputusan yang disebutkan tidak mempunyai sebarang kelemahan dari segi undang-undang dan cabaran yang dibangkitkan oleh pemohon tidak mendedahkan sebarang kecatatan untuk mahkamah ini mengambil kira untuk semakan kehakiman. Untuk itu, mahkamah menolak permohonan pemohon untuk semakan kehakiman dengan kos RM20,000,” katanya.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, mewakili Deloitte manakala Brendan Navin Siva hadir untuk SC.

Malik Imtiaz ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, beliau akan mendapatkan nasihat daripada anak guamnya sama ada hendak memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Sebelum ini, dilaporkan SC mendenda Deloitte sebanyak RM2.2 juta untuk empat pelanggaran melibatkan bon RM2.4 bilion (sukuk) yang dikeluarkan oleh anak syarikat 1MDB, Bandar Malaysia Sdn Bhd (BMSB) pada tahun 2014.

Deloitte merupakan juruaudit berkanun bagi BMSB dan 1MDB Real Estate Sdn Bhd (1MDB RE), yang kini dikenali sebagai TRX City Sdn Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015 hingga 2016.

Pada 14 Nov 2019, Deloitte memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan SC yang menolak permohonannya bagi mengkaji semula sekatan pentadbiran dan mengekalkan sekatan yang dikenakan terhadapnya.

Pada 25 Nov 2019, Hakim Mariana membenarkan Deloitte meneruskan permohonan semakan kehakimannya.

Dalam permohonannya, firma audit itu meminta untuk membatalkan semakan keputusan SC pada 19 Ogos 2019, yang mengekalkan denda RM2.2 juta terhadap Deloitte yang dikenakan pada 30 Jan 2019.

Deloitte turut meminta perintah certiorari bagi membatalkan semakan keputusan SC yang mengenakan denda tersebut, selain meminta pengembalian RM2.2 juta yang dibayar sebagai denda kepada SC sekiranya mahkamah menyokong permohonan semakan kehakiman tersebut, kos atau apa-apa perintah selanjutnya yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas