Berita

Bomba anjur tiga program antarabangsa Oktober ini

- Diterbit 24 Januari 2024 4:55 PM MYT

TIGA program antarabangsa yang bakal dianjurkan serentak oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Oktober ini mampu memberi impak signifikan kepada bidang kebombaan dan penyelamatan negara.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata ketiga-tiga program iaitu ‘International Fire Chiefs’ Association Of Asia (IFCAA) General Conference’, ‘International Fire Conference And Exhibition Malaysia (IFCEM)’, dan ‘Malaysia International Rescue Extrication Challenge (MIREC)-IfCAA Joint Drill 2024’ akan diadakan pada 22 hingga 24 Okt.

Menurutnya kesemua program itu yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, dijangka membabitkan 1,800 peserta dari 30 negara.

“Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik usaha JBPM dalam program berimpak tinggi seumpama ini dan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta  bagi tujuan pelaksanaan serta pengurusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis prapelancaran ketiga-tiga program itu di Ibu Pejabat JBPM di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohamad.

Nga berkata selain peruntukan daripada kerajaan, pihak IFCAA selaku penganjur bersama turut menyumbang sebanyak RM280,000 bagi tujuan pelaksanaan program.

Bertemakan ‘Meningkatkan Kapasiti’, katanya penganjuran itu memfokuskan tiga komponen utama iaitu Kejuruteraaan dan Keselamatan Kebakaran, Teknologi dan Pengoperasian Kebombaan serta Mekanisme Pengurusana Bencana dan Insiden.

Ia menurutnya juga merupakan platform terbaik untuk pakar industri, para profesional serta ahli akademik dalam bidang kebombaan berkongsi pengetahuan serta amalan terbaik untuk peningkatan amalan keselamatan kebakaran.

Dalam pada itu, Nga berkata penyertaan peserta dari dalam dan luar negara akan turut membantu mempromosi Malaysia sebagai destinasi persidangan dan pameran antarabangsa, pelancongan, perdagangan dan pelaburan utama di rantau ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas