Berita

Barangan asas mencukupi menjelang Aidilfitri

PENGUATKUASA memeriksa bekalan telur di Labuan
- Diterbit 29 Mac 2024 1:32 PM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan memberi jaminan bahawa bekalan barangan asas mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri.

Pengarahnya, Junaidah Arbain berkata berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan, pihaknya mendapati situasi bekalan terutamanya barang kawalan adalah mencukupi.

“Menerusi maklumat dan pemeriksaan, jumlah bekalan gula pasir kasar yang ada di dalam simpanan adalah sebanyak 167 metrik tan (mt).

“Manakala jumlah bekalan Gula Premium / Better White adalah sebanyak 199 mt. Jumlah keseluruhan bekalan yang berada di pasaran sekitar Labuan adalah sebanyak 366 mt,” katanya kepada Wilayahku.

Menjelas lanjut, Junaidah memaklumkan hasil pemantauan ke atas minyak masak mendapati bekalan
itu mudah diperolehi dalam pasar raya dan kedai-kedai runcit di pulau ini.

“Bagi minyak masak, jumlah bekalan minyak masak paket 1 kilogram (kg) adalah sebanyak 41 mt. Manakala bagi minyak masak botol pula terdapat di mana-mana pasar raya mahu pun kedai runcit,” katanya.

Selain gula dan minyak masak, bekalan tepung gandum, ayam dan telur ayam juga dijangka tidak berdepan masalah disebabkan bekalan masih dapat menampung permintaan menjelang perayaan.

“Secara keseluruhan, kedudukan bekalan barang keperluan asas seperti gula, minyak masak, tepung gandum, ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi pasaran di sekitar Labuan.

“Oleh itu, pengguna diingatkan agar tidak membuat pembelian panik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas