Berita

Aset Aman Palestin dibeku, SPRM sedia dedah di mahkamah – Azam Baki

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 28 November 2023 7:12 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi berhubung tindakan membekukan aset-aset milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata tindakan pembekuan aset itu bagi membantu siasatan dan dibuat berdasarkan Seksyen 44 (1) AMLATFPUAA 2001, yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

“Ia merupakan tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan, sekiranya ada keperluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Aman Palestin pada sidang media di Bangi memberi masa tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya, yang dibekukan sejak 23 Nov lepas.

Peguam Aman Palestin Rafique Rashid dilapor berkata jika badan penguatkuasaan itu gagal berbuat demikian, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Azam berkata SPRM menjalankan siasatan secara profesional dan adil tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

“Terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang, sekiranya mereka merasa ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata SPRM dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa, terutama kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana.

Pada 23 Nov lepas, SPRM membekukan 41 akaun bank milik Aman Palestin Berhad dan beberapa entiti syarikat lain berkaitan dengannya, membabitkan wang berjumlah lebih RM15 juta. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas