Berita

Tabung wakaf MARA Madani ditubuhkan – PM Anwar

- Diterbit 2 Mac 2024 5:49 PM MYT

SELARAS dengan ikthiar Kerajaan MADANI dalam memperkasakan agenda Bumiputera, sukacita Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Tabung Wakaf MARA Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Katanya, tabung tersebut akan diterajui oleh MARA dan kerajaan akan menyuntik dana RM100 juta sebagai permulaan itu selari dengan hasrat penubuhan agensi ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh pemimpin terdahulu.

“Wakaf MARA Madani akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat Bumiputera dan memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan, keusahawanan dan pengangkutan yang semakin mencabar di alaf baru ini.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memberi limpah perkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada uncapan penutup Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Primeir Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.

Ujar Anwarm, prestasi Tabung Wakaf MARA Madani akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.

“Bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf terbiar, Belanjawan MADANI 2024 juga telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah-rumah mampu milik dengan sasaran 2,500 unit dengan segera,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas