Berita

Syed Hamadah dilantik Pengarah Urusan Kumpulan, CEO Tabung Haji

- Diterbit 5 Mei 2023 2:54 PM MYT

SYED Hamadah Syed Othman dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu berkuatkuasa 6 Mei 2023.

TH dalam satu kenyataannya memaklumkan pelantikan Syed Hamadah telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar adalah bagi menggantikan Datuk Seri Amrin Awaluddin yang telah melengkapkan penggal perkhidmatan dua tahun sebagai Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengawai Eksekutif serta Ahli Lembaga TH pada 5 Mei 2023.

Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, TH mengalu-alukan perlantikan Syed Hamadah dan yakin dengan kemahiran serta pengalaman luas yang dimiliki bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) itu.

“Saya yakin dengan kemahiran dan pengalaman luas yang dimiliki oleh Syed Hamadah akan dapat meneruskan usaha memperkukuhkan TH dari segi tadbir urus dan operasi ke tahap yang lebih cemerlang dan membanggakan di masa hadapan.

“Ahli Lembaga dan Pengurusan Kanan TH menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Seri Amrin atas komitmen serta usaha beliau dalam mengatur strategi bagi mencapai aspirasi Hijrah24 dalam melonjakkan aktiviti pengurusan haji, operasi cawangandan pelaburan supaya TH terus kekal berdaya saing, mampan dan berwibawa selari dengan arus semasa dalam aspek pengukuhan struktur tadbir urus korporat, dan inisiatif digitalisasi, ”katanya.

Syed Hamada mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan beliau merupakan pengarah serta rakan kongsi di Actuarial Partners Consulting Sdn Bhd.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 25 tahun dan pakar dalam perundingan multinasional dan organisasi tempatan mengenai reka bentuk pencen, pembiayaan, perakaunan pencen, penggabungan dan pengambilalihan.

Beliau juga merupakan Felo di Fakulti Aktuari dan Felo di Persatuan Aktuari Malaysia dan mempunyai Ijazah Kepujian dalam Matematik Aktuari dan Statistik dari Heriot Watt University, Edinburgh pada tahun 1994. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas