Berita

Syarikat swasta terus hulur sumbangan bantu masyarakat Labuan

ALEX (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Ansharey bagi membantu penduduk Labuan yang terjejas akibat PKP.
- Diterbit 11 April 2020 1:23 AM MYT

LABUAN – Yuwang Group sekali lagi terpanggil untuk menyumbang bantuan makanan kepada masyarakat yang terjejas ekoran Covid-19 bersama beberapa syarikat hari ini.

Antara syarikat yang turut menyumbang adalah FT Food Plt , Sky Network Services , Kintabest Sdn. Bhd., Irama Konsep Sdn. Bhd. dan Angan Maju Sdn. Bdn.

Pengurus Yuwang Group, Alex Lee berkata, sumbangan ini merupakan hasil dana dan kutipan daripada beberapa syarikat yang ingin menyumbangkan bantuan.

Antara sumbangan ialah merupakan barang makanan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sardin.

“Kami berharap kit makanan ini akan membantu mengurangkan bebanan kewangan mereka yang memerlukan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami berharap individu yang mempunyai keupayaan kewangan, syarikat swasta dan organisasi bukan kerajaan akan melakukan perkara yang sama menyumbang kepada mereka yang memerlukan bantuan, terutamanya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian yang terjejas akibat PKP, ” katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Kebajikan Masyarakat, Ansharey Matarsad berkata, pihaknya berterima kasih kepada syarikat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atas sumbangan mereka.

“Kami sangat mengalu-alukan sumbangan daripada mana- mana individu, syarikat dan NGO di Labuan ini bagi membantu masyarakat yang terjejas ekoran PKP.

Terdahulu Yuwang Group telah menyumbang 2,500 helai topeng muka kepada petugas barisan hadapan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas