Berita

Ruang lama Pusat Kawalan Kusta Negara jadi wad Covid-19

INILAH keadaan wad bagi pesakit gejala ringan Covid-19 yang ditempatkan di ruang lama Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh.
- Diterbit 11 April 2020 12:14 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebahagian ruang di Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh berubah menjadi wad bagi menempatkan pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wad dengan kapasiti 60 buah katil khas itu adalah bagi menampung pesakit Covid-19 dengan gejala ringan.

“Ruang lama Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh telah berjaya ditukarkan kepada sebuah wad 60 katil khas untuk pesakit Covid-19 dengan gejala ringan,” kata beliau dalam laman Facebooknya semalam.

Mengikut maklumat dari laman web Hospital Sungai Buloh, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) Sungai Buloh merangkumi keluasan 562 ekar telah diisytiharkan oleh kerajaan pada tahun 1926 sebagai tempat pengasingan koloni kusta.

Di bawah Enakmen Kusta 1926, pesakit kusta dikehendaki untuk diasingkan.

Dianggarkan lebih 3, 000 pesakit kusta dari seluruh negara yang ditempatkan di kem pengasingan lain seperti Setapak, Pulau Jerejak, Pulau Pangkor, Tumpat dan Tampoi dipusatkan di mukim Gombak iaitu di Lembah Sungai Buloh “Leprosarium” (Lembah Harapan).

Mereka diasingkan kerana pada masa itu masih belum terdapat ubat yang boleh menyembuhkan penyakit kusta.

“Leprosarium Sungai Buloh” dibuka secara rasmi oleh Dr. Gordon Alexander Ryrie, Penguatkuasa Perubatan pertama pada 16 Ogos 1930.

Penemuan ubat “Dapsone” pada tahun 1940 membolehkan pesakit-pesakit kusta di Lembah Harapan Sungai Buloh mendapat rawatan sepanjang hayat.

Pada tahun 1969, Program Kawalan Kusta Negara dilancarkan di mana pesakit kusta boleh mendapatkan rawatan di mana-mana pusat kesihatan berhampiran tempat tinggal mereka dan tidak perlu ditempatkan di Sungai Buloh lagi.

Penyakit kusta kini tidak lagi dianggap sebagai masalah kesihatan masyarakat.

Hari ini kira-kira 150 orang bekas pesakit kusta masih mendiami pusat ini sama ada di chalet atau wad-wad bekas pesakit kusta yang puratanya berumur lebih 50 tahun dan ke atas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas