Selebriti

Susan Lankester sokong penubuhan RumahPrihatin@GrandSeasons

||
- Diterbit 9 Julai 2021 8:21 AM MYT

USAHA Kementerian Wilayah Persekutuan dan Yayasan Wilayah Persekutuan bekerjasama dengan Hotel Grand Seasons menubuhkan RumahPrihatin@GrandSeasons mendapat pujian ramai termasuk golongan selebriti.

Antaranya adalah pelakon dan produser hebat Susan Lankester yang turut mengagumi keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kepentingan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Grand Seasons Kuala Lumpur, yang ditutup dua tahun lalu telah menawarkan 300 bilik kepada kerajaan untuk dijadikan rumah transit bagi mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik.

“Dapur besar juga bakal dijadikan sebagai pusat penyediaan makanan percuma kepada mereka yang kurang bernasib baik di bandar tersebut.

“Ia cukup menyenangi hati apabila hotel ini digunakan untuk memberi manfaat kepada yang lain,” luah Susan melalui akaun Twitter miliknya @suelanks.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata RumahPrihatin@GrandSeasons yang akan beroperasi secara berperingkat mulai 15 Julai ini, akan dijadikan premis yang berkonsepkan hotel kebajikan dengan menjalankan kegiatan sukarela berkaitan perkhidmatan pengawalan penularan wabak tersebut.

Menurut Annuar lagi, RumahPrihatin@GrandSeasons menawarkan lima komponen utama yang selari dengan konsep Wilayah Cakna dan Wilayah Prihatin bagi membantu rakyat secara lebih proaktif.

Lima komponen itu ialah Dapur Prihatin, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksin Prihatin dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas