Selebriti

Rina harap Fendy (Caliph Buskers) segera dapat rumah PPR

|RINA Harun menziarahi keluarga Fendy sekaligus menghulurkan bantuan
- Diterbit 11 Julai 2021 5:00 AM MYT

HASRAT dan impian untuk anggota kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun untuk mendapatkan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dijangka akan menjadi kenyataan tidak lama lagi

Perkara itu menarik perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun ketika menyantuni kediaman Fendy di Sentul pagi tadi.

Kata Rina yang Ahli Parlimen Titiwangsa itu, berharap urusan berkenaan dapat disegerakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Insya-Allah saya berharap urusannya untuk mendapatkan rumah PPR atau mampu milik itu dapat disegerakan DBKL.

“Malah hari ini (Semalam) juga saya bawa pegawai DBKL untuk memproses dan mempercepatkan permohonan rumah Fendy.

“Selebihnya kita kena tunggu DBKL. Saya dalam masa sama juga akan membuat susulan dengan mereka termasuk berhubung dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa,” katanya yang ditemui media di kediaman artis berkenaan di Sentul.

RINA Harun menziarahi keluarga Fendy sekaligus menghulurkan bantuan

Rina dalam pada itu ketika kunjungan berkenaan turut menyerahkan bantuan Bakul Makanan, pek Ready to Eat selain menyerahkan sumbangan tunai oleh Yayasan Kebajikan Negara dan Tabung Bantuan Segera (TBS) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat

“Fendy turut menerima elaun RM500 untuk tiga bulan. Elaun itu di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diberikan kepada golongan OKU yang telah kehilangan pekerjaaan, ketiadaan kerja, dibayar separuh gaji atau diarahkan bercuti tanpa dibayar gaji.

“Fendy sebelum ini adalah penerima Elaun Pekerja OKU di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Tapi sejak tahun 2019 kerana pendapatan yang diperolehi melebihi daripada yang sepatutnya, dia sudah tidak lagi menerima elaun berkenaan

“Oleh itu dia layak menerima elaun RM500 selama tiga bulan. Kita juga akan minta sukarelawan memantau keadaan Fendy dan anaknya. Kebetulan bekas isterinya juga menetap di apartmen sama namun berbeza tingkat,” katanya.

Rina turut menyebut, dia juga ada menghubungi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah untuk membantu Fendy dalam mendapatkan dana kreatif membuat Hiburan Dari Rumah

“Fendy sendiri begitu bersemangat berkongsi bakat muziknya dan berusaha mencari rezeki di era pandemik ini, termasuk buat ‘busking’ secara langsung di laman Facebook.

“Jadi harap dana kreatif itu boleh disalurkan kepadanya,” katanya.

Rina di hujung bicara turut menegaskan yang golongan OKU tidak pernah dipinggirkan sama sekali.

“Sebanyak RM30 juta ringgit diperuntukkan bagi memanfaatkan seramai 20 ribu OKU seperti diumumkan dalam PEMULIH.

“Saya menyeru kepada semua OKU yang berkelayakan di luar sana agar dapat membuat permohonan bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup semasa berhadapan dengan pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Terdahulu, Jumaat lalu, Fendy, bapa tunggal kepada Nurazalea Zafirah, 6, yang juga OKU memuat naik video memohon perhatian ke akaun laman sosial miliknya memohon perhatian kerajaan membantunya memudahkan permohonan mendapatkan rumah mampu milik atau PPR. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas