Susah masa PKP, mee udang Ezzaty bawa tuah
EZZATY gigih berniaga mee udang.

Susah masa PKP, mee udang Ezzaty bawa tuah

BUKAN sahaja orang awam yang hidup susah kerana pendapatan terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah golongan artis juga berasakan kesannya.

Begitu juga dengan pelakon Ezzaty Abdullah,30, yang mengaku dia dan keluarga hidup susah apabila semua penggambaran harus dihentikan demi memerangi wabak Covid-19.

“Di awal PKP, tidak dinafikan pendapatan saya dan suami sangat terjejas kerana banyak tanggungan yang perlu dijelaskan. Walaupun ada kelonggaran yang kerajaan sediakan, namun tidak dalam semua perkara. Ada yang tetap kami kena bayar.

“Alhamdulillah.. di akhir-akhir Ramadan saya terfikir nak buat mee udang. Asalnya untuk diri sendiri, rasa teringin nak makan, tapi apabila jiran-jiran cakap sedap mulalah saya fikir nak buat bisnes.

“Saya juga ada beri kepada Beto Khusyairy sebab dia suka mee udang. Dia cakap sedap dan cadangkan saya berniaga.

“Jadi saya cubalah muat naik gambar mee udang di Instagram, tak sangka ramai pula yang mesej mahukannya sampai saya terpaksa padam semula gambar tersebut,” kata Ezzaty yang semakin seronok buat bisnes Mee Udang Kak Long sempena nama wataknya dalam drama bersiri Korban Kasih siaran RTM.

Sebagai permulaan, Ezzaty hanya menerima pesanan sebanyak 35 pek sahaja.

“Selepas beberapa hari berniaga, saya mula berani terima hampir 200 pesanan dalam satu-satu masa.

MEE UDANG yang bakal diagih kepada pelanggan.

“Alhamdulillah… sambutannya sangat menggalakkan. Hasil jualan itu membolehkan saya melunaskan mana-mana hutang yang perlu dibayar.

“Jujurnya saya tidak sangka rezeki berniaga ini banyak membantu kami sekeluarga,” ujarnya yang akan mula menjalani penggambaran drama bersiri Cinta Sekali Lagi selepas dibenarkan kerajaan untuk penggiat seni mencari rezeki.

“Syukur, tawaran berlakon tidak putus-putus. Bermula awal tahun lepas, jadual saya penuh sampai akhir tahun. Tidak ada cuti langsung.

“Tahun ini, kalau ikutkan jadual penggambaran saya penuh sampai bulan Ogos, tapi disebabkan PKP, semuanya ditangguhkan.

“Kalau ikutkan ada beberapa tawaran berlakon yang datang kemudian, tapi saya utamakan yang mana datang dulu dan telah dipersetujui awal,” ujarnya lagi yang juga isteri kepada pelakon Azwan Kombos. Hasil perkahwinan pada 16 Julai 2016, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Harum Dalia yang kini berusia tiga tahun. -WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS