Utama

Sunway, Huawei Malaysia terokai era pendigitalan

||
- Diterbit 17 Oktober 2021 12:16 PM MYT

SUNWAY Berhad (Sunway) menerusi anak syarikatnya, Sunway Shared Services Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei) bagi meneroka kerjasama untuk membangun dan memajukan Program Inovasi Digital Sunway.

Presiden Kumpulan Sunway, Tan Sri Chew Chee Kin, berkata, kerjasama antara dua pihak dapat mempercepatkan usaha transformasi digital Sunway di segenap pelusuk sejajar dengan revolusi Industrial 4.0.

“Di Sunway, kami terus mengutamakan inovasi digital dengan melabur dalam bakat, sumber dan infrastruktur untuk memastikan Kumpulan Sunway kekal lestari, berdaya tahan dan relevan dengan persekitaran yang sentiasa berubah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bagi Ketua Pegawai Maklumatnya, Kevin Khoo, Kumpulan Sunway teruja untuk bekerjasama dengan Huawei yang terkenal sebagai penyedia maklumat global terkemuka dan infrastruktur teknologi komunikasi (ICT), melopori dunia penyebaran maklumat dan komunikasi.

“Kami berharap dapat melihat hasil inovatif darikerjasama ini dan bagaimana ia akan mendorong ekosistem Sunway yang berkembang maju,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Michael Yuan berkata, sebagai peneraju teknologi global, Huawei berada dalam posisi yang baik untuk memberikan bantuan teknikal dan panduan kepada Sunway Group.

Ujarnya, Program Inovasi Digital Sunway berada di landasan tepat dan pendigitalisasi akan membantu sesebuah organisasi menjadi lebih berdaya saing di era digital.

Terdahulu, MoU berkenaan bertujuan untuk meneroka potensi Huawei dalam mendorong inisiatif perkhidmatan digital baru melalui Program Inovasi Digital Sunway yang memajukan transformasi digital di seluruh Kumpulan Sunway yang juga salah satu konglomerat terkemuka di Malaysia dengan 13 bahagian perniagaan.

Majlis menandatangani itu disempurnakan, Kevin sebagai wakil Sunway bersama Naib Presiden Cloud dan AI Huawei Malaysia, Lim Chee Siong dengan disaksikan Chee Kin serta Michael Yuan. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas