Selebriti

Sukar hasilkan filem Imaginur kerana cabaran pandemik, kewangan

|
- Diterbit 30 Januari 2023 3:33 AM MYT

PENGARAH dan penerbit filem popular Nik Amir Mustapha akui menghadapi pelbagai cabaran untuk menghasilkan filem terbaharunya yang berjudul Imaginur yang bakal ditayangkan pada 23 Februari ini.

Ujarnya, selain faktor pandemik yang membuatkan penggambaran tergendala, faktor kewangan juga cukup memberikan cabaran.

“Akibat pandemik COVID-19 dulu, saya antara pembikin filem yang terjejas kerana banyak yang sudah dirancang tergendala.

“Sebagai syarikat kerdil, cabaran terbesar memang dari segi kewangan dan Lumatic Films mengambil masa yang lama untuk mengumpul dana yang cukup dan akhirnya dengan bantuan pihak FINAS juga, maka kami berjaya menyiapkan Imaginur.

“Pembikinan juga tergendala sangat lama kerana terjejas pandemik, tetapi kami gunakan masa itu untuk memperhalusi filem ini sebaiknya. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus, filem ini berjaya disiapkan,” ujarnya yang percaya kepada hikmah di sebalik pandemik.

Mengangkat sebuah kisah percintaan yang mengetengahkan elemen romantik scifi pastinya merupakan sebuah naskah yang cukup unik.

Nik Amir berkata, Imaginur sebuah filem bertemakan cinta, tetapi disulam dengan elemen hipnosis untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

“Imaginur sebuah kisah cinta, mengisahkan tentang seorang lelaki yang mimpikan seorang gadis, kemudian setelah melalui proses hipnosis, tiba-tiba dapat berjumpa di alam realiti.

“Bolehkah kita dipukau untuk bercinta? Saya terinspirasi dengan soalan itu dan berhasrat membuat satu ‘snapshot’ kehidupan orang Malaysia yang bertemakan cinta dan keluarga yang dipakej bersama elemen hipnosis,” ujarnya.

Merupakan filem ketiga dihasilkan selepas KIL dan Terbaik Dari Langit, Nik Amir memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan Imaginur timbul memandangkan dia begitu minat dengan minda manusia yang kompleks.

“Sebenarnya, idea untuk menghasilkan filem ni sudah ada sejak sebelum saya mengarahkan filem pertama iaitu KIL.

“Akhirnya, saya berganding dengan Redza Minhat untuk menulis sebuah filem bertema cinta, hipnosis dan kehidupan. Setelah lama tak buat filem, saya rasa nak buat comeback dengan idea original saya dulu maka terhasillah Imaginur,” jelasnya.

Filem Imaginur terbitan Lumatic Films, Imaginur ini mengandingkan dua orang pelakon hebat iaitu Beto Kusyairy dan Diana Danielle selaku teraju utama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas