Berita

Sukan SEA: Indonesia, Thailand pencabar utama skuad hoki dalam Dewan Negara

- Diterbit 29 Mac 2023 7:45 AM MYT

INDONESIA dan Thailand dilihat sebagai pencabar utama skuad hoki dalam dewan lelaki negara pada temasya Sukan SEA Kemboja Mei ini.

Ketua jurulatih Mohd Hanif Che Halim berkata skuad Indonesia kini dikendalikan bekas jurulatih skuad kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah yang memikul tanggungjawab sebagai pengarah teknikal pasukan hoki Indonesia.

“Di Piala Asia (tahun lepas), kita pernah bertemu dengan Indonesia, kita sudah melihat taktikal mereka. Balik dari Piala Asia, pasukan Indonesia dilihat sudah mula berlatih dan sudah keluar melakukan siri jelajah ke dua atau tiga negara.

“Jadi kita akan tukar sikit corak permainan, kita akan variasikan, tidak guna taktikal lama sebab pihak lawan semakin rapat dengan kita. Jadi kita akan cuba ubah corak permainan untuk lebih agresif,” katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan skuadnya di sini.

Pada Ogos tahun lepas, pasukan kendalian Mohd Hanif mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 menewaskan juara bertahan Iran, 3-2 menerusi penentuan pukulan penalti pada aksi final di Bangkok, Thailand.

Mohd Hanif yang pernah meraih pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Filipina 2019 dalam sukan itu berkata pasukan negara dijadual berlepas ke Perth, Australia untuk perlawanan persahabatan pada 9 hingga 19 April ini dan senarai akhir 12 pemain hanya akan dibuat selepas siri jelajah berkenaan.

Sementara itu, jurulatih pasukan wanita Mohd Badrul Hisham Osman bertekad untuk mempertahankan kejuaraan yang pernah diraih pasukan kebangsaan pada Sukan SEA Filipina 2019.

Mohd Badrul Hisham berkata meskipun tempoh latihan disifatkan singkat, beliau optimis pasukan wanita negara sudah bersedia dan mampu mengekalkan kejuaraan melihat kepada kesungguhan yang dipamerkan  pasukannya.

“Kita ada tiga, empat orang pemain senior dan pencabar utama semestinya kita nampak Thailand dan Indonesia yang betul bersedia,” katanya.

Pasukan lelaki dan wanita hoki dalam dewan negara berjaya menyapu bersih pingat emas pada Sukan SEA Filipina 2019. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas