Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Sudah tebang mesti tanam!

- Diterbit 24 Mei 2024 10:50 AM MYT

SETIAP batang pokok yang ditebang di Kuala Lumpur mesti diganti dengan penanaman 100 pokok baharu. Ini arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Pesekutuan), Dr Zaliha Mustafa, sebelum itu mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menebang pokok yang dianggap berisiko tinggi dan boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Arahan ini berikutan insiden pokok tumbang di ibu negara baru-baru ini ketika hujan lebat dan angin ribut. Pada 7 Mei pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, meragut nyawa seorang lelaki. Kejadian tersebut turut merosakkan 17 kenderaan serta landasan monorel di Jalan Sultan Ismail. Pada 13 Mei, sebatang pokok tumbang di Jalan Pinang.

Ekoran kejadian ini, DBKL akan menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang serta menyediakan garis panduan berkaitan pokok berisiko tinggi. Pelan yang dijangka siap Julai ini menyerlahkan keprihatinan DBKL dalam menangani isu risiko pokok tumbang.

Kawan-kawan Kedai Kopi menyambut baik arahan Dr Zaliha supaya DBKL menebang pokok yang sudah tua dan berbahaya. Pihak DBKL akan membuat pemantauan dan penilaian teliti dalam menentukan pokok mana yang wajar dimusnahkan.

Keselamatan orang ramai lebih penting daripada yang lain. Namun ada kala kemalangan berlaku juga. Walaupun pemeriksaan berkala dilakukan terhadap pokok, tiada siapa tahu ia akan tumbang pada waktu tertentu.

Justeru langkah terbaik yang boleh diambil ialah sentiasa berjaga-jaga. Ini termasuk menebang pokok yang dikenal pasti berbahaya. Selain itu, pada hemat kawan-kawan Kedai Kopi, kerja-kerja mengurus pokok juga mesti kerap dilakukan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas