Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Cegah tragedi Ulu Tiram dari membarah

BALAI Polis Ulu Tiram mencatat tragedi berdarah yang menggemparkan negara. - Gambar hiasan
- Diterbit 24 Mei 2024 10:40 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BALAI Polis Ulu Tiram mencatatkan tragedi berdarah baru-baru ini. Dua anggota polis mati dibunuh oleh seorang lelaki yang masuk bersama parang di tangan. Lelaki itu juga mati terbunuh dalam tragedi berdarah ini.

Yang menakutkan, lelaki ini membunuh anggota polis dengan parangnya dan merampas senjata api milik anggota polis itu. Dengan senjata itu, seorang lagi anggota polis mati dibunuh oleh penceroboh ini.

Ketua Polis Negara (KPN) pada awalnya telah memaklumkan, penceroboh ini disyaki anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) namun selepas siasatan awal selesai, polis dapati ia tiada kaitan dengan JI.

KPN mengandaikan penceroboh ini dari JI kerana ayah si penceroboh adalah anggota JI.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas itu berkata, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru adalah bertindak sendirian didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.

Menurutnya, ia adalah dapatan dari hasil siasatan awal polis berdasarkan temu bual dengan 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan terbabit.

“Siasatan awal polis mendapati suspek bertindak sendirian didorong motivasi kefahamannya malah dia dan keluarga juga tidak bercampur masyarakat.

“Oleh itu, serangan suspek di Balai Polis Ulu Tiram adalah terpisah daripada misi besar atau kumpulan terancang…itu tidak ada.

“Insiden semalam bukan mengancam keselamatan awam begitu sekali (seperti persepsi ramai, tular, laporan segelintir media).

“Jadinya, kita gesa orang ramai, pihak media henti sebar spekulasi berkaitan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Johor.

Walaupun orang ramai dilarang membuat sebarang spekulasi mengenai tragedi ini namun siapa yang dapat menghalang pelbagai pihak membuat pelbagai andaian mengenai insiden ini.

Sekurang-kurangnya ada yang akan berteka-teki apa sebenarnya yang berlaku di sebalik peristiwa ini.

Yang paling ditakuti adalah apa yang berlaku di Ulu Tiram ini adalah hasil dari apa yang ditanam selama ini.

Ini kerana, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, inilah kempen yang dibuat. Kempen benci-membenci yang ditanam dalam masyarakat. Kempen ini pula berasaskan kaum dan agama.

Walaupun kempen sebegini telah sampai ke kemuncaknya dan tidak boleh memberikan laba tambahan kepada tukang kempennya lagi, namun itulah yang telah ditanam sebelum dan selepas kempen PRU-14 lalu.

Kini hasilnya boleh dituai sebagaimana yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram ini.

Pihak keselamatan, bagi saya tidak boleh memandang ringan isu ini. Saya secara peribadi amat bersetuju dengan pandangan Menteri Dalam Negari, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Siasatan terperinci perlu dibuat, apakah kes ini hanya terpencil sahaja atau ada pihak yang merancang di sebalik tragedi ini.

Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei, tragedi Memali atau kes Al-Maunah berulang dan sekali lagi menconteng arang kepada nama baik negara.

Ini kerana dengan nama baik sahajalah, negara kita bakal berjaya melepasi halangan pembangunan ekonominya selepas terbelenggu dengan COVID-19 sebelum ini.

Dengan nama baik sahajalah, para pelabur luar akan yakin untuk meletakkan duit mereka ke negara kita dan pelancong asing akan sudi datang ke negara kita.

Sebagai rakyat dan umat Islam, bangsa majoriti negara ini iaitu orang Melayu perlu memilih pendekatan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW iaitu Islam ini agama kasih sayang.

Oleh itu, sebarang bentuk kempen, ucapan apatah lagi penulisan yang berbentuk takfiri ataupun mengkafirkan pihak yang tidak bersama dengan kita perlu dihentikan.

Sebelum apa-apa yang boleh menghalang kelestarian ekonomi kita, kita perlu bertegas bab kata pepatah, cegah sebelum parah.

Ini sekadar pandangan dari penulis sahaja.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas