Berita

Subfertiliti LPPKN bantu pasangan dapat zuriat

DATUK Mohd Nizar Zakaria berkata pihaknya akan terus komited untuk memantapkan institusi keluarga dan perkahwinan di Malaysia.
- Diterbit 29 September 2021 2:35 AM MYT

PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai penubuhan Pusat Kecemerlangan Subfertiliti LPPKN dilihat sebagai perkara yang melegakan bagi pasangan yang sukar mendapat zuriat.

Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata mereka yang memerlukan akan terus dibantu dengan perkhidmatan subfertiliti berkualiti pada kos yang kurang membebankan.

“Pasangan juga bakal mendapat akses kepada perkhidmatan kesejahteraan keluarga yang lebih menyeluruh meliputi penjagaan selepas bersalin, kaunseling keluarga dan kemahiran keibubapaan menerusi pusat ini kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Nizar, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pihaknya akan terus komited untuk memantapkan institusi keluarga dan perkahwinan di Malaysia dalam membentuk keluarga yang sejahtera.

Mengulas lanjut, Mohd Nizar berkata LPPKN akan merangka semula program pendidikan pra perkahwinan dan kemahiran keibubapaan bagi memanfaatkan platform digital agar lebih relevan kepada isu dan cabaran semasa.

Tambah beliau, sebagai membudayakan norma baharu, LPPKN menjalankan program Pembangunan Keluarga seperti Keluarga@Kerja, SMARTbelanja@LPPKN dan IlmuKeluarga@LPPKN secara dalam talian mulai akhir tahun 2020.

“Pada masa sama, bagi mengurangkan masalah kesihatan mental dan tekanan kalangan ahli Keluarga, perluasan perkhidmatan kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan menggunakan kaedah e-kaunseling dan tele kaunseling turut diperkenalkan menerusi Talian khas Toll Free Helpline Family Care 1-800-82-0300,” ujarnya.

Selain itu, perkhidmatan kaunseling remaja turut dijalankan secara ‘hybrid’ dan aplikasi interaktif myKafeTEEN dan berjaya menarik sejumlah 1,837 orang klien remaja sepanjang pandemik COVID-19.

“Saya yakin kolaborasi strategik seluruh agensi KPWKM termasuk LPPKN bersama-sama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan terus diperkukuhkan secara tuntas bagi menyokong kesejahteraan Keluarga Malaysia seperti disarankan oleh Perdana Menteri,” katanya. – WILAYAHKU – SABRINA SABRE

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas