Berita

Struktur besi diroboh

PENGUATKUASA DBKL membuka jeriji menghalang laluan.
- Diterbit 8 Mac 2024 10:35 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak merobohkan struktur besi yang dipasang tanpa kelulusan di laluan koridor Flat Perumahan Seksyen 2, Wangsa Maju.

DBKL memaklumkan operasi khas itu dijalankan selepas pemilik kediaman didapati gagal mematuhi Notis Penguatkuasaan yang telah dikeluarkan pada 10 Januari lalu.

“Notis itu menghendaki pemilik kediaman untuk  membuka sendiri struktur besi yang dibina.

“Sisa struktur besi telah dipindahkan ke Stor JKME di Jalan Cheras untuk tindakan lanjut dan dokumentasi proses pelupusan,” jelas DBKL.

Menurut DBKL, tindakan penguatkuasaan ini dijalankan di bawah kesalahan Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana membuat halangan laluan koridor awam.

Operasi tersebut juga dijalankan di bawah Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta; Jabatan Kesihatan Alam Sekitar; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal (JKME); Jabatan Kawalan Bangunan dan Pejabat Cawangan Wangsa Maju serta Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, DBKL juga menegaskan tindakan sebegini akan terus dilaksanakan di lokasi lain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas