STIGMA dan diskiminasi terhadap kesihatan mental adalah antara cabaran utama yang menjadi penghalang kepada akses terhadap rawatan dan penjagaan kesihatan mental yang baik.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, persepsi negatif itu hendaklah dihentikan serta individu yang mempunyai masalah kesihatan mental digalakkan untuk mendapatkan rawatan sama seperti penyakit fizikal yang lain.
“Di peringkat global, kemurungan merupakan salah satu daripada penyebab utama ketidakupayaan. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan satu dalam empat remaja mengalami gejala kemurungan pada tahun 2022 berbanding satu daripada lima remaja yang mengalami gejala tersebut pada 2019.
“Justeru itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental iaitu Talian HEAL 15555 bagi meningkatkan akses kepada masyarakat bagi perkhidmatan bantuan sokongan kesihatan mental dan tele-kaunseling.
“Setelah hampir setahun beroperasi, statistik panggilan yang diterima adalah sebanyak 26,139 panggilan di mana 16,942 klien bersamaan 65 peratus daripadanya telah menerima bantuan sokongan emosi manakala 9,197 klien bersamaan 35 peratus mendapat intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Zaliha berkata, KKM turut bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan, swasta, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat dalam merancang dasar dan pembangunan program di samping pelaksanaan program advokasi kesihatan mental di peringkat komuniti.
“KKM akan terus komited memberi perkhidmatan kesihatan mental terbaik kepada segenap lapisan masyarakat dan hala tuju perkhidmatan ini juga akan dipertingkatkan melalui pendekatan platform digitalisasi,” katanya.
Terdahulu, Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut pada 10 Oktober setiap tahun dan bertemakan ‘Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma’ pada tahun ini yang menekankan bahawa kesihatan mental merupakan hak setiap individu tanpa ada pihak yang dipinggirkan. – WILAYAHKU