Berita

SPRM terima 17 kenderaan berteknologi tinggi mantap penugasan bawa OKT

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 1 Mac 2024 6:35 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menerima 17 kenderaan khas atau Special Purpose Vehicle (SPV) dilengkapi sistem teknologi tinggi bagi memantapkan beberapa operasi penugasan termasuk membawa orang kena tahan (OKT).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan hari ini berkata SPV jenama Weststar Maxus V80 yang diterima agensi itu merupakan kenderaan pertama diguna pakai oleh agensi penguatkuasaan di negara ini.

“SPV ini dihasilkan dalam tempoh tiga bulan bertujuan membawa OKT. SPV ini telah difabrikasi dengan ciri-ciri keselamatan dari segi pengiringan OKT ke mahkamah selain dilengkapi dengan sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV) yang canggih dengan sistem kamera 360 darjah,” katanya.

Beliau berkata sistem CCTV terbabit boleh dipantau secara terus dari ibu pejabat walaupun kenderaan itu berada di negeri dan turut dilengkapi dengan alat sistem pengesan global (GPS) sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini terhadap kenderaan itu.

Teknologi lain yang terdapat pada SPV itu, katanya ialah sistem komunikasi berpusat, walkie-talkie dan tayar gerak kempis.

Azam berkata sebanyak 14 SPV yang diterima akan diserahkan kepada setiap negeri dan dua lagi akan ditempatkan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini.

“Sebuah lagi akan diserahkan kepada kepada Bahagian Keselamatan bagi kegunaan Cawangan Persenjataan bertujuan pengangkutan senjata dan peralatan berkaitan.

“Dengan pengagihan SPV ini, ia akan membantu menyelesaikan masalah kekurangan kenderaan yang sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan membawa OKT ke mahkamah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas